Tuesday

Mencari sesuatu yang sempurna,namun lupa tiada yang sempurna dalam dunia ini

Ketika Allah swt mencintai seseorang, tempat pertama sentuhan cinta itu ialah dihati mereka. Kerana disitulah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka~ kemudian digantikan dgn harapan dan keinginan untuk berubah kearah kebaikan. Seolah hati kita berbisik~ Aku tahu bila Allah mencintaiku, apabila aku membenci segala kejahatanku .Aku meminjam kata-kata ini dari seorang temanku yang begitu dekat hatinya dengan ALLAH.
Begitu indah kehidupan ini jikalau hati ini selalu ingin mendekati ALLAH swt.Pasti setiap dugaan dan cabaran yang datang akan di hadapai dengan tenang.Realiti kehidupan kadangkala memang perih untuk difahami ,namun harus di hadapi.Begitulah apa yang dirasakan Nurul Ain selama ini,dia tidak pernah meminta perasaan cinta itu hadir di dalam dirinya,namun ALLAH swt telah menetapkan bahawa perasaannya akan hadir untuk seseorang yang bernama Adam.Ikhlaskah hatinya untuk melepaskan Adam bersama orang lain,kenapalah hatinya perlu dipinggirkan untuk kebahagiaan orang lain,adilkah ini semua untukknya.
“ ‘Hasbunallah wa nikmal wakil’,memadailah ALLAH untukku dan ALLAH sebagai penolong.Jangan terlalu bersedih dengan sesuatu musibah yang berlaku,kerana itu semua ujian yang ALLAH berikan untukmu.Kau golongan terpilih yang ALLLAH uji tahap keimananmu sahabat”.Kata-kata yang di ungkapakan Najwa itu membuat hatiku terubat sedikit demi sedikit,barulah aku mengerti dengan apa yang terjadi pada diriku ini,membuatkan aku semakin dekat dengan ALLAH.
“Nurul Ain,jauh termenung”.Najwa menghadap wajah sahabatnya itu.Dia tahu pasti ada sesuatu sedang bermain di fikiran Nurul Ain,kerana lagi tadi dia melihat Nurul Ain hanya menguis –nguis mi goreng yang berada di hadapannya itu.
“Takdelah,biasa je.Bila Najwa sampai?”.
“Adalah dalam sepuluh minit,kenapa ni.Ada masalah ke?”.
“Taklah,teringat keluarga kat Malaysia”.
“Owh,ingatkan apa.Rindu kat keluarga rupanya,beruntung awak Nurul Ain,sekurang-kurangnya ada keluarga yang awak boleh rindukan,sedangkan saya,anak yatim yang tiada siapa hanya mengharap kasih sayang orang lain”.Ada nada sedih dalam percakaan Najwa itu.
“Janganlah cakap macam tu,saya kan ada.Saya selalu sayang kat awak”.Nurul Ain tersenyum kepada Najwa.Najwa adalah orang pertama yang dia temui ketika menjejakkan kaki di bumi Australia ini,ketika itu dia baru sampai di hostel dan sedang mengangkat beg-begnya yang berat ,tiba-tiba sahaja Najwa muncul dari belakang dan menawarkan diri untuk membantunya,dan kebetulan mereka tinggal sebilik di hostel yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.Dan semenjak daripada itu mereka menjadi rapat.

"Ya ALLAH,bantulah aku Ya ALLAH.Kuatkanlah hati ini untuk merelakan dia pergi dengan iklhlas,walaupun jarak antara kami jauh Ya ALLAH,namun hatiku terasa amat dekat dengannya Ya ALLAH....".Doa itu selalu di ucapkan Nurul Ain di dalam doa-doanya,dia selalu menginginkan ALLAH swt melenyapkan rasa kasih yang telah wujud itu.
"Berhenti menyakiti hatimu kawan,kau tahu dia masih lagi berada dekat di hatimu.Mengapa kau harus memaksa ia pergi,benarkanlah sahaja perasaan itu,aku yakin tiba saatnya nanti ALLAH swt akan menghilangkannya ketika Dia merasakan hatimu telah terbuka untuk menerima insan lain".Najwa duduk di tepi Nurul Ain,memandang wajah sahabatnya yang sudah pun berlinang air mata,perlahan dia menyapunya.
"Nurul Ain,alangkah indahnya jika titisan air mata ini awak titiskan untuk ALLAH swt yang telah menciptakan dunia yang indah ini,pasti akan lahir ketenangan di dalam hati awak kerana segala apa yang berada di dunia ini memang indah untuk dipandang tetapi tidak bernilai untuk ditangisi".
"Saya berdosa Najwa,saya terlalu meratapi kekecewaan sedangkan saya tahu itu salah satu tanda kasih sayang ALLAH swt kepada saya.Saya berdosa".
"ALLAH itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih,bersujudlah kepadanya.InsyaALLAH ,Dia akan mengampunkan segala umatnya yang memohon ampun,jika ia benar-benar ikhlas kepada ALLAH".
Nurul Ain memandang wajah sahabatnya itu.Dia bersyukur ALLAH swt telah menganugerahkannya seorang sahabat yang amat menyayanginya layaknya seorang saudara,dan juga sahabat yang selalu memberikan kata-kata sokongan dan nasihat kepada dirinya.Dia akui dia mengagumi keperibadian Najwa yang sempurna di pandangan matanya.


"Astagfirullahalazim!Habis semua buku jatuh,lain kali jalan tu guna kan mata",Nurul Ain sudah pun mengutip buku-buku miliknya yang sudah bertaburan itu.
"Maafkan saya.Saya nak cepat ni,tapi salah awak juga kenapa bawa buku banyak-banyak sampai tak nampak orang kat depan".Nampaknya lelaki yang telah menyebabkan buku-bukunya terjatuh tidak mahu mengalah.
"Awak yang langgar saya,sekarang awak nak salahkan saya".Nurul Ain tidak mahu mengalah.
"Kalau awak tak bawa buku banyak sangat tentu awak nampak saya ada kat depan awak tadi".
"Ok,memang salah saya.Maafkan saya".Malas untuk terus bertekak,Nurul Ain mengemas kembali buku-bukunya dan terus beredar pergi.Dia tahu lelaki yang dihadapinya tadi mempunyai ego yang sangat tinggi dan lagipun dia sudah pun terlambat untuk ke galeri lukisan untuk bertemu kawan-kawan sekuliahnya.



"Nama dia Nurul Ain,dia pelajar civil engineering,ni tahun terakhir dia,dah lima tahun dia belajar kat sini and setahu aku dia ni masih single".
"Aku cuma nak tahu nama dia je.Dia single atau tak,itu bukan urusan aku.Pertama kali dalam hidup aku seorang perempuan mengalah dengan aku  sedangkan terang-terang itu salah aku.Siapa sebenarnya dia ni?".
"Jangan cakap dekat aku kau dah tersangkut dengan dia".
"No way,she's not my type.Aku cuma nak tahu je,tak lebih dari tu".Aiman Hakim menafikan kata-kata kawannya itu,namun sebenarnya dia betul-betul terganggu dengan kehadiran Nurul Ain yang secara tiba-tiba itu.Dan kenapa mesti Nurul Ain meninggalkan satu kesan di dalam lubuk hatinya.Yang selama ini tidak pernah dia rasakan ketika bertemu dengan mana-mana wanita.
"Well,as a friend.Aku cuma nak nasihatkan kau,Nurul Ain ni tak sama macam jenis perempuan yang selalu kau kejar,dia berbeza.Dia takkan layan buaya darat macam kau ni".
Mendengar kata-kata kawannya itu semakin kuat hati nurani Aiman Hakim untuk mengenali siapa Nurul Ain ini.
"Ain,boleh saya bercakap dengan awak?".Aiman Hakim mengikuti langkah kaki Nurul Ain yang laju itu.
"Jangan panggil saya Ain,saya tak suka".Nurul Ain memang tidak senang dengan orang yang memanggilnya dengan nama Ain,kerana nama Ain itu hanya diguna bersama keluarga dan orang-orang terdekat sahaja.
"Saya  nak berkawan dengan awak".
"Boleh tapi saya ada lima syarat untuk awak.Sanggup?".
Perlahan Aiman Hakim mengangguk bersetuju,inilah kali pertama Nurul Ain mahu bercakap dengannya,sudah hampir dua minggu dia cuba untuk berbual dengan gadis ini,namun ada sahaja alasannya untuk beredar pergi.
"Syarat yang pertama:
Tolong jarakkan diri awak dengan saya ketika kita berbual.
Syarat yang kedua:
Awak diharamkan menyentuh saya,walau apa juga alasan pun.
Syarat yang ketiga:
Setiap kali kita berjumpa,saya nak sekurang-kurangnya ada lagi lima orang kawan-kawan bersama kita.
Syarat yang keempat:
Semua pertemuan kita nanti mesti ada sebab yang kukuh bukan hanya pertemuan kosong tanpa membawa apa-apa faedah.
Syarat yang kelima:
Awak dengan saya hanya kawan biasa dan tak boleh lebih daripada itu.Awak sanggup Aiman Hakim".Nurul Ain tersenyum,dia memang sengaja memberikan syarat-syarat tersebut agar dapat menjauhkan diri daripada Aiman Hakim yang memang terkenal dengan sifat buaya daratnya itu.Dia tahu pasti Aiman Hakim tidak akan mampu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkannya itu.
"Boleh tak kalau awak ringankan sikit syarat-awak yang nombor empat tu,takkan nak pergi keluar minum pun tak boleh".
"Takpelah saya tahu awak memang takkan sanggup memenuhi syarat-syarat saya tadi,so nak dipendekkan cerita,awak dengan saya tak payah berkawan,awak dengan hidup awak dan saya dengan hidup saya".Nurul Ain beredar pergi,taktiknya untuk menolak huluran persahabatan Aiman Hakim menjadi.Dia tersenyum sendiri.


"Agak kejam tapi cute",Najwa berkata.Tidak habis-habis mereka berdua tertawa setelah Nurul Ain menceritakan kisahnya bersama Aiman Hakim petang tadi.
"Kejam tapi cute?Datang dari mana pula perkataan kejam tapi cute tu Najwa".
"Selalunya lah yang saya tahu  selalu orang buat syarat tu sebab pernikahan kontrak,tapi awak ni Aiman Hakim tu kan cuma nak berkawan je dengan awak,awak dah bagi dia sampai lima syarat.Tapi kan Nurul Ain,macamana kalau dia tiba-tiba sanggup penuhi lima syarat awak tu?".
Tawa Nurul Ain terhenti seketika,dia memang tidak pernah terfikir kemungkinan itu.Tapi kalau mengikut kisah-kisah kawan sekuliahnya yang telah lama mengenali Aiman Hakim,pasti Aiman Hakim tidak sanggup untuk menerima syarat-syaratnya,apatah lagi ego lelaki itu terlalu tinggi.
Ketukan di pintu bilik mematikan perbualan Najwa dan Nurul Ain.
"Ada orang nak berjumpa dengan awak Nurul Ain,tiga orang lelaki dan dua orang perempuan".
"Siapa pula?".Nurul Ain bertanya-tanya sendiri.


Sakit kepala Nurul Ain memikirkan apa yang baru sahaja terjadi tadi.Tadi Aiman Hakim dan kawan-kawannya datang,Aiman Hakim bersetuju untuk memenuhi lima syarat yang ditetapkan oleh Nurul Ain.
"Migrain la tu,terima je lah dia dengan baik Nurul Ain,lagipun saya tengok dia tu bersungguh-sungguh nak berkawan dengan awak".
"Awak nak saya berkawan dengan buaya darat macam tu.Saya tak nak ambil risiko"
"Tak semua yang kita dengar tentang orang lain tu kadangkala betul sepenuhnya.Jangan cepat menilai seseorang dari keperibadiaannya sahaja.Belum tentu yang nampak jahat itu,seorang yang jahat dan juga belum tentu yang nampak baik itu seorang yang baik.Bersikap adil Nurul Ain,dan lagi pun syarat-syarat yang awak tetapkan itu tak mungkin boleh merugikan awak sebagai seorang perempuan".
"Kenapa awak seakan menyebelahi Aiman Hakim?"
"Sebab saya nampak keikhlasan kat mata dia sewaktu dia pandang awak,dan mungkin sebab saya nak kawan baik saya ni cuba buka hati dia untuk insan lain".

"Jangan jadi hipokritlah Aiman.Aku tahu kau berubah jadi macam ni sebab kau nak dekat dengan Nurul Ain,budak yang rasa dia tu baik sangat".
"Dia memang baik.Kau kalau marah dengan aku jangan cuba-cuba nak libatkan dia,ini masalah kau dengan aku,tak perlu libatkan dia".
"Kau ingat Nurul Ain tu nak kat kau,dia cuma nak permainkan kau.Kalau betul dia tu baik yang macam kau cakapkan,dia takkan buat lima syarat gila tu".
"Aku tak rasa syarat tu membebankan aku,malah aku rasa syarat -syarat tu mampu membuat aku mengawal diri aku ketika aku bersama seorang perempuan yang bukam muhrimku".
"Dulu masa kau dengan kekasih-kekasih kau,kau tak pernah kisah pun hal-hal macam ni.Sudahlah Aiman,kau hentikanlah lakonan kau tu,Nurul Ain tu bukan gadis yang sesuai untuk kau".
"Aku akui,dulu aku memang jahil soal agama islam,tapi lepas aku kenali agama islam tu aku mula dapat rasakan kata-kata yang pernah Nurul Ain sebutkan islam is beautiful.Memang pada mulanya aku berpura-pura untuk mengejar simpati Nurul Ain,namun semakin hari aku bersama dengan dia,perlahan dia telah mengajarku sedikit demi sedikit tentang agama islam yang indah,dan saat aku pertama kali mengerjakan solat berjemaah bersama-samanya,aku menitiskan air mata.Mengapa aku terlambat untuk mengenali agama islam yang indah ini.Betul kata-kata dia islam is beautiful.Marilah kawan kita kembali ke jalan yang diredai ALLAH swt ni".
"Ops..sorry.Kalau kau nak tunjuk alim ,kat sini bukan tempat yang sesuai.Aku selesa dengan kehidupan aku sekarang,lagipun terlalu muda untuk aku bertaubat.Nanti kalau dah tua sempatlah aku taubat.Kau boleh keluar dari rumah aku,dan aku rasa aku dah tak perlu kawan macam kau lagi".

"Saya rasa saya terpaksa melanggar syarat awak yang kelima.Saya tidak mampu untuk terus menyimpan apa yang tersirat di hati saya ini.Walaupun saya tahu risikonya amat besar bagi saya,mungkin selepas ni awak akan membenci saya selama-lamanya.Tapi naluri hati saya mendesak untuk berterus-terang dengan awak.Saya telah terlanjur menyayangi awak Nurul Ain,dan saya amat yakin perasaan ini bukanlah kasih seorang sahabat ,melainkan kasih seorang lelaki untuk wanita yang disayanginya.Dan saya mahu ikatan kita sah sebagai suami dan isteri,agar ALLAH swt merahmati kasih sayang yang saya berikan kepada awak.Berikan saya peluang untuk bahagiakan awak Nurul Ain".
Luahan perasaan dan lamaran Aiman Hakim itu membuatkan Nurul Ain gelisah.Dia tidak mampu untuk memarahi Aiman Hakim ,sebagai seorang lelaki dia berhak untuk menyayangi seorang wanita yang dirasakan mampu menjadi teman hidupnya.Nurul Ain akui telah wujud suatu perasaan yang istimewa untuk Aiman Hakim di dalam hatinya,cuma dia sendiri tidak pasti apakah perasaan itu yang sebenarnya.Dan yang dia bimbangkan pula kenapa hatinya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran insan lain walupun setelah lima tahun berlalu.Adam,mengapa namamu masih lagi terpahat di hati ini?

“Dah lima tahun berlalu  Nurul Ain,ikhlaskan Adam dari hatimu seperti mana yang telah kau minta kepadanya.Mungkin sekarang dia sudah berbahagia bersama isteri dan anak-anaknya.Jalanilah hidupmu dengan tenang  dan insyaALLAH jika sudah sampai jodohmu pasti ALLAH akan menemukannya kepadamu kelak”,Nurul Ain berkata kepada dirinya sendiri.
Hari ini merupakan hari pelancaran koleksi lukisan-lukisan berunsur islam yang dilancarkan oleh Nurul Ain dan rakan-rakannya di Sydney.Semua lukisan ini akan dijual dan wangnya akan di derma kepada institusi  islam di Sydney.
“Nurul Ain,ada seorang lelaki datang,dia nak mendermakan lukisannya kepada kita”.Salah seorang sahabatnya datang menghampiri Nurul Ain yang asyik mengelamun dari tadi.
“Alhamdulillah,mana dia orangnya?”.
“Ada kat depan,cantik juga lukisan yang dia bawa tu”.
Nurul Ain tersenyum,bersyukur dia ke hadrat ALLAH swt masih ramai lagi insan yang suka menderma di saat ini.Maknanya masih ramai lagi insan-insan yang soleh dan solehah di dalm dunia ini.
“Assalamualaikum”.Nurul Ain memberi salam kepada lelaki yang sedang berdiri menghadap ke dinding itu.
“Waalaikumussalam”.Dia menoleh dan saat itu pandangan mata mereka bertemu dan senyuman lelaki itu membuat Nurul Ain terpaku seketika.
“Adam”.


"Macamana kehidupan Nurul Ain kat sini".
Pertanyaan Adam itu dibiarkan sepi,Nurul Ain masih tidak yakin saat ini dihadapannya adalah Adam.Pasti sebentar lagi Najwa kan membangunkannya daripada mimpi ini.
"Nampaknya awak masih belum memaafkan saya tentang kisah saya lima tahun yang lalu.Maafkan saya Nurul Ain kerana menganggu awak".Adam melangkah pergi.
Nurul Ain seakan tersadar dari mimpi melihat Adam mahu melangkah pergi.
"Adam".Langkah kaki Adam terhenti,hatinya kembali ceria,Nurul Ain akhirnya memberi respon padanya.
"Banyak perkara yang saya harus ceritakan kepada awak Nurul Ain.Tentang saya dan apa yang terjadi selama lima tahun ketiadaan awak di Malaysia".


"Buatlah pilihan berdasarkan hati nurani awak.Adam,cinta pertama awak,tapi awak juga tak boleh menafikan rasa kasih yang telah wujud untuk Aiman Hakim.Semua yang terjadi pada Adam dan awak dulu betul-betul menguji kasih sayang antara awak berdua.Dan saya lihat setelah hampir lima tahun,Adam masih lagi menunggu awak untuk menerimanya semula.Namun Aiman Hakim telah wujud saat awak cuba untuk melupakan Adam,dan saya nampak keikhlasan dia terhadap awak.Mintalah bantuan dari yang Maha Esa Nurul Ain,InsyaALLAH ,Dia akan memberi awak hidayahnya".
Kasihan Najwa melihat sahabatnya yang kebingungan ini.Nurul Ain betul-betul sedang diuji oleh ALLAH swt.ALLAH itu amat menyayangi sahabatnya ini,disebabkan itulah dia mendapat ujian sebesar ini.


"Ya ALLAH,Tuhan yang Maha Agung,Maha Pengasih,Maha penyayang.Kau yang menciptakan langit dan bumi ini,ampunilah dosaku Ya ALLAH,dosa kedua ibu dan bapaku,dan juga dosa adik -beradikku.Sesungguhnya kau yang berkuasa di dunia ini Ya ALLAH,aku adalah hambamu yang paling lemah,bantulah aku Ya ALLAH untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran yang telah kau berikan,Sesungguhnya hati dan perasaanku ini telah ku serahkan sepenuhnya kepadamu Ya ALLAH.Kasih dan cinta ini telah lama ku berikan hanya untukMu.Namun telah wujud perasaan kasih dan sayang untuk insan-insan yang menyayangiku Ya ALLAH.Aku bimbang Ya ALLAH jika keputusan yang kan ku buat itu nanti bukanlah suatu keputusan yang diredai olehMu Ya ALLAH.Bantulah aku Ya ALLAH untuk memilih pasangan hidupku yang nantinya apabila aku mencintainya ,akan menambahkan lagi rasa cintaku kepadaMu.Sesungguhnya aku mahu pasangan hidupku kelak akan mencintaiku keranaMu Ya ALLAH,bukan kerana diriku.Dan jika nanti telah sampai titik keputusannya ikhlaskanlah hati ini Ya ALLAH untuk menerima segala qada dan qadarMu.SesungguhNya hanya kepadaMU tempat aku bergantung harapan".



Adam menghulurkan sampul berisi tiket kapal terbang kepada Nurul Ain.Dia reda dengan segala keputusan yang akan dia terima.Memang dia akui tujuan utama dia ke Sydney ini adalah untuk memujuk hati Nurul Ain agar menerimanya semula.Namun hati dan perasaan memang tidak boleh dipaksa,sekuat mana pun rasa kasihnya kepada gadis itu dia reda jika memang bukan dia pilihan hati Nurul Ain."
"Saya cuma nak awak bahagia,kalau dibukakan pintu hati awak untuk menerima saya,saya harap kita boleh kembali ke Malaysia bersama-sama dengan tiket yang saya berikan itu.Namun jika memang kita tiada jodoh ,saya terima kerana awak berhak buat keputusan dalam hidup awak tanpa sebarang paksaan".
"Saya minta maaf Adam.Saya belum mampu untuk memberikan jawaannya sekarang.Saya tidak mahu membuat keputusan ketika hati saya masih lagi tidak tenang".
"Nurul Ain,awak masih tidak berubah macam dulu.Suka meminta maaf sedangkan awak tiada salah".Adam tersenyum,dia masih ingat pertama kali dia berjumpa dengan Nurul Ain,gadis itu asyik meminta maaf kepadanya.Dan sejak itulah dia mula menyayangi gadis itu dalam diam.
"Saya tak pernah berubah Adam,saya masih orang yang sama.Orang yang awak kenali lima tahun lalu".
"Memang awak masih orang yang sama ,cuma perasaan awak terhadap saya mungkin dah berubah.Lima tahun,macam-macam boleh berlaku.Tapi saya tak salahkan awak,awak berhak jalani kehidupan awak macam biasa".
Nurul Ain terdiam mendengar kata-kata Adam.Benarkah perasaannya terhadap Adam telah berubah?Dia sendiri tidak tahu,sebab saat ini dia masih lagi bingung.
"Assalamualaikum",satu suara memberi salam kepada mereka berdua.
"Waalaikumussalam",mereka berdua menjawab serentak,seraya Nurul Ain berpaling ke arah suara itu.Aiman Hakim!

"Awak tak nak cakap apa-apa pasal Adam?",Nurul Ain memulakan perbualan ketika mereka berdua berjalan pulang ke hostel Nurul Ain.
"Itu hal peribadi awak.Saya tak berhak campur tangan".
Nurul Ain terdiam,dia tahu walaupun Aiman Hakim tidak bertanya dari riak wajahnya sejak bertemu dengan Adam,lelaki itu merasa gusar.Apatah lagi Aiman Hakim lebih banyak berdiam diri ketika ini,Aiman Hakim yang dia kenali selalunya seorang yang suka mengusik dan kelakar,namun Aiman Hakim di hadapannya ini telah berubah menjadi pendiam sejak tadi.Masing-masing mendiamkan diri.
"Saya lelaki biasa Nurul Ain,ada rasa cemburu ketika mengetahui ada lelaki lain juga menyayangi awak.Tapi saya tahu awak bukan hak saya".Lemah nada suara Aiman Hakim.Akhirnya dia ungkapkan jua kata-kata itu.
"Maafkan saya".
"Bukan salah awak,cuma saya yang terlalu lemah menghadapi kenyataan".
"Aiman,boleh awak jawab dengan jujur pertanyaan saya".Langkah kaki Aiman Hakim terhenti.
"Awak berubah seperti ini kerana siapa?.Saya kenal awak,dulu awak tak pernah kenal erti sebenar seorang islam,tapi perubahan awak yang drastik ini,membuatkan saya tertanya,untuk siapa awak berubah".Terdiam seketika Aiman Hakim mendengar soalan Nurul Ain.
"Jujur,saya berubah kerana awak.Awak yang menyebabkan saya berubah,hati saya terlalu mendesak untuk mengenali awak dengan lebih dekat.Memang pada mulanya saya berubah kerana ingin mendekati awak,tapi selepas saya menyelami erti islam yang sebenar,saya bersyukur.Saya mula merasakan nikmatnya menjadi islam yang sebenar,dan awak memainkan peranan yang penting dalam perubahan diri saya".
"Aiman Hakim,berubahlah kerana ALLAH,kerana diri awak sendiri,bukan kerana saya.InsyaALLAH awak akan mengecapi kebahagiaan sebagai seorang muslimJangan terlalu memuji saya,saya hanya manusia biasa.Saya takut suatu hari nanti saya akan kecewakan awak.".
"Itu hak awak Nurul Ain,insyaALLAH saya akan reda dengan segala keputusan yang akan awak buat nanti".Pedih tapi itu memang hakikat yang harus Aiman Hakim terima kelak,apatah lagi tadi dia bertemu dengan lelaki yang telah dulu pernah mencuri hati Nurul Ain,dan lelaki itu lebih sempurna daripada dirinya.

Adam melangkah lemah masuk ke biliknya.Pertemuan tadi benar-benar membuatkan hatinya gusar.Siapa Aiman Hakim di dalam hidup Nurul Ain?Kenapa dia merasa ada sesuatu di antara mereka.Jika semasa pertama kali bertemu Nurul Ain dia yakin gadis itu akan menerimanya semula,namun sekarang dia merasakan keyakinannya sedikit berkurang.
"Ya ALLAH,tenangkanlah hatiku menerima segala dugaan daripaMu.Jika dia memang jodohku,kau satukanlah kami dalam ikatan yang sah hanya untuk kami bersama-sama mencintaiMu dengan lebih keredaan.Namun jika memang dia bukan jodohku,aku reda Ya ALLAH,namun temukanlah dia dengan seseorang yang mampu membahagiakan dia dunia dan akhirat,walaupun bukan dengan diriku Ya ALLAH".

29.02.2012:
"Kau yakin dengan keputusan kau ni Nurul Ain",Najwa membantu Nurul Ain mengemas barang-barangnya.Hari ini Nurul Ain akan pulang ke Malaysia bersama-sama Adam.Ya,dia telah memilih Adam sebagai teman hidupnya.Dia perlukan seorang lelaki yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat,dan dia melihat Adam mampu membimbingnya.Aiman Hakim reda dengan keputusan yang dia buat,namun dia tahu lelaki itu kecewa.
"Aku tak mampu untuk berkata aku yakin dengan keputusan aku ni,semua ni aku serahkan kepada ALLAH swt".
"Semoga kau bahagia Nurul Ain,aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau".
"Terima kasih Najwa,kau memang sahabat aku dunia dan akhirat.Kau dah macam kakak aku yang sentiasa ada untuk aku dan kau je yang mampu memahami apa yang tersirat di dalam hatiku.Terima kasih kerana selalu ada untuk aku dan insyaALLAH aku juga akan sentiasa mendoakan kau Najwa,agar kau juga sentiasa bahagia di dunia dan akhirat".


Adam dan Nurul Ain menunggu di balai pelepasan,setengah jam lagi mereka berdua akan berangkat pulang ke Malaysia.
"Terima kasih kerana terima saya dalam hidup awak.Saya berjanji Nurul Ain,saya takkan sia-sia kan peluang yang awak berikan ini".
"Jangan mudah berjanji Adam,saya bimbang awak tak mampu untuk memenuhinya nanti,cukuplah sekadar saya tahu awak menyayangi saya dengan tulus".
Adam tersenyum,akhirnya doanya dimakbulkan ALLAH swt,Nurul Ain memilih dia walaupun pada awalnya dia seperti tidak yakin dengan keputusan gadis itu,namun apabila melihat kesungguhan Nurul Ain untuk mengikutnya pulang ke Malaysia,dia seakan tersedar yang dia bukan bermimpi.Nurul Ain benar-benar telah memilihnya.


Bunyi telefon mematikan perbualan Nurul Ain dan Adam,Nurul Ain bangun dan menjawab panggilan Najwa jauh sedikit dari  Adam.
"Najwa,kenapa saya tak sedap hati.Betulkan keputusan yang saya buat ni?",soal Nurul Ain.
"Saya bukan di tempat awak.Hanya awak dan ALLAH sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di dalam hati awak".
"Doakan saya Najwa,agar hati saya tenang".
"Doa saya selalu ada untuk awak Nurul Ain".


"Jangan panggil saya Ain,awak tahu saya tak suka orang panggil saya dengan nama tu".
"Alar,kan sama je.Ain,Ain,Ain,Ain,Ain,Ain".
"Aiman Hakim!".Nurul Ain berkata dalam nada separuh menjerit.
"Nurul Ain,kenapa ni?Awak ok?",Adam yang berada di sebelah Nurul Ain terkejut apabila secara tiba-tiba Nurul Ain memanggil nama Aiman Hakim.
Nurul Ain mengesat-ngesat matanya,dia baru tersadar dari mimpi,tadi dia termimpikan Aiman Hakim.
"Nurul Ain,awak ok?".Adam bertanya lagi,dia melihat gadis itu kebingungan.Perasaan Adam mula tidak tenang,dia tahu Nurul Ain termimpikan Aiman Hakim.
"Saya ok,maafkan saya.Saya tertidur tadi".
"Mari kita solat dahulu,sempat lagi sebelum naik flight".
Nurul Ain hanya mengangguk bersetuju,mereka berdua pergi ke masjid yang berdekatan.

Setelah selesai berdoa,Adam menghadap Nurul Ain yang berada di belakangnya.Dia memandang wajah Nurul Ain,tenang hatinya.Alangkah indahnya jika dia dan Nurul Ain di satukan dalam ikatan yang sah dan menjalani kehidupan sebagai suami dan isteri,pasti dia adalah lelaki yang paling beruntung di dalam dunia ini.
"Kenapa awak pandang saya macam tu Adam?".
Pertanyaan Nurul Ain dibiarkan Adam tanpa sebarang jawapan.
"Pejamkan mata awak Nurul Ain,dan tenangkan diri awak sejenak.Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah dan Penyayang,siapa yang betul-betul berada di dalam hati awak,saya atau Aiman Hakim".
"Adam".
"Tolonglah jangan menolak,saya perlukan kepastian kerana ini melibatkan kehidupan tiga insan".
Perlahan Nurul Ain memejamkan matanya,dia menarik dan menghembus nafas dengan perlahan.Fikirannya mula menerawang,..........


"Aku memang tak layak untuk Nurul Ain,dia memang sepatutnya memilih Adam.Adam boleh menjadi seorang ketua keluarga yang baik,bukan seperti aku yang masih jahil tentang islam".
"Tapi awak boleh belajar".Aiman Hakim mengalihkan pandangannya ke arah suara itu.Dia melihat Nurul Ain sedang tersenyum kepadanya.
"Ya ALLAH,janganlah kau biarkan aku terus termimpi-mimpikan dia lagi.Dia bukan milikku".Aiman Hakim berdoa,dia tahu pasti yang berdiri di hadapannya ini hanyalah bayangan Nurul Ain kerana saat ini dia sangat merindui gadis itu.
"Aiman Hakim,awak tak bermimpi.Ini memang saya".
Aiman Hakim mengesat-ngesat matanya.'Nurul Ain'.
"Bukan ke sepatutnya awak dah naik flight balik Malaysia sekarang".
"Saya memang nak balik ke Malaysia,tapi saya tertinggal barang,dan barang tu ada pada awak".
"Barang awak pada saya.Barang apa?".
"Hati saya".
"Apa maksud awak?",semakin pelik Aiman Hakim mendengar kata-kata Nurul Ain itu.
"Saya minta maaf.Saya terlalu mencari kesempurnaan ,sedangkan dalam dunia ni tiada yang sempurna.Lima tahun yang lalu hati saya memang masih berada pada Adam,tapi saat saya bertemu awak,pintu hati saya mula terbuka untuk menerima awak,apabila melihat kesungguhan awak".
"Macamana dengan Adam?".
"Dia ikhlas merelakan saya pergi kerana dia tak mahu saya bersama dengan dia dalam keadaan hati saya masih di sini".
"Alhamdulillah,awak tahu keputusan awak ni betul-betul satu anugerah ALLAH buat saya.Terima kasih Nurul Ain kerana sudi menjadi pendamping hidup saya,walaupun saya bukanlah seorang lelaki yang sempurna imannya".
"Hanya ALLAH yang mampu mengukur setinggi mana keimanan seseorang,bukan manusia biasa.Jangan berterima kasih kepada saya Aiman Hakim,berterima kasihlah kepada ALLAH swt yang telah membukakan pintu hati saya untuk menerima awak".
Aiman Hakim tersenyum,doanya telah diperkenankan ALLAH swt,Nurul Ain akan menjadi miliknya,insyaALLAH.
"Tapi untuk saya menerima awak dalam kehidupan saya.Awak harus penuhi lima syarat saya,awak sanggup?".
"InsyaALLAH,saya sanggup.Kalau dulu saya sanggup terima lima syarat awak kerana terpaksa,tetapi sekarang saya sanggup terima lima syarat awak dengan sepenuh hati saya".

"Syarat yang pertama:
Majlis perkahwinan kita haruslah  sederhana,tanpa bersanding.Memadailah jika hanya kenduri kesyukuran.
Syarat yang kedua:
Awak tak boleh tinggalkan saya dalam gelap,sebab saya memang takut gelap.
Syarat yang ketiga:
Kalau ditakdirkan saya mengandung nanti,awak tak boleh kerja jauh-jauh sebab saya tak nak anak kita rasa jauh dengan ayah dia,walaupun dia belum lahir.
Syarat yang keempat:
Mulai saat ini,detik ini,awak kena panggil saya dengan nama Ain,sebab saya suka bila awak panggil saya dengan nama tu.

Syarat yang kelima:....tapi saya takut awak tak mampu penuhi syarat saya ni..

"Saya terima apa pun Ain,sebab saya yakin ALLAH swt merahmati cinta dan kasih saya pada awak.Saya mencintai awak kerana ALLAH,dan insyaALLAH saya akan menikahi awak juga kerana ALLAH swt.Beritahu saya apa syarat yang kelima itu?".

"Awak harus menyayangi dan mencintai saya dengan sepenuh hati dan takkan sia-siakan hidup saya".
"Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih,saya akan menyayangi dan mencintai Nurul Ain dengan seikhlas dan sepenuh hati saya hingga pernafasan nafas saya yang terakhir".Dengan satu nafas Aiman Hakim melafazkan kata-kata itu,dia yakin dengan apa yang dikatakannya kerana dia tahu ALLAH swt akan merahmatinya.
Nurul Ain tersenyum.Alhamdulillah,barulah kini hatinya menjadi tenang.Dia yakin dengan keputusannya ini,dia harus berterima kasih kepada Adam yang membantunya membuat keputusan yang adil,bagi dirinya,Aiman Hakim dan Adam.Semoga Adam bertemu dengan gadis yang akan membahagiakan dia di dunia dan akhirat.Dan Aiman Hakim,insyaALLAH,kasih dan sayang yang wujud untukmu di dalam hati ini akan ku bawa sehingga ke hujung pernafasan nyawaku,dan akan ku tunggu kau di syurga.InsyaALLAH.