Sunday


HANYA DALAM HATI 8


Zulaika mundar-mandir di dalam bilik,tiba-tiba rumah yang luas ini menjadi begitu sempit baginya..kenapa dia?kenapa dia harus muncul di sini?Ya Allah semakin jauh aku ingin menjauhkan diri darinya,semakin dekat pula dia mendekatiku..aku tidak kuat Ya Allah!
Sewaktu Aizad memperkenalkan Syahrul Aiman kepadanya,badannya terasa seperti melayang,namun di tahannya agar tidak kelihatan di hadapan mereka dia sedang sangat terkejut dengan kehadiran Syahrul Aiman di sini.
“Amal!”.Zulaika melangkah masuk ke dalam bilik Amal,melihat Amal yang sedang nyenyak tidur membuatkan dia membatalkan hasrat untuk memberitahu Amal tentang kehadiran Syah di sini.
“Ika,kenapa tak tidur lagi?”.Ibu muncul dari dapur sewaktu Zulaika keluar dari bilik Amal.
“Tadi nak ambil barang pada Amal,tapi tengok Amal tidur lena sangat tak sampai hati pula nak kejut.Ibu kenapa tak tidur lagi?”.
“Tunggu ayah,dia hantar kad jemputan rumah adik-beradik dia.Tapi tadi dia baru telefon,malam ni dia tidur rumah mak long.Dah malam sangat,mata ayah tak jelas sangat kalau memandu malam”.
“Owh,besok ibu jadi nak hantar kad kahwin Aizad?”.
“Jadi,Ika nak teman ibu?”.
“Kesian pula Amal sorang-sorang kat rumah.Ibu pergi dengan Aizad je lah”.
“Ok,lupa ibu nak tanya.Ika kenal ke dengan abang senior Aizad tu?Ibu tengok dia macam terkejut sangat tengok Ika ada kat sini”.
“Kawan sekolah Amal dengan Ika.Ika ada jadi photographer untuk syarikat dia beberapa kali”.
“Owh,dia dah kahwin belum?”.
“Tiga bulan selepas majlis Aizad,giliran dia pula ibu”.Ibu memandang wajah Zulaika,entah mengapa dia mendengar nada suara pilu Zulaika saat gadis itu memberitahu tentang abang senior Aizad itu.
“Ika nak teman ibu tidur tak?”.
“Nak”.Zulaika tersenyum lebar,memang saat ini yang diperlukan adalah kehadiran seseorang yang rapat dengannya agar hatinya yang sedang kacau ini menjadi tenang.

“Ayah cinta pertama ibu ke?”.
“Nak kena jawab ke soalan tu”.Ibu tertawa kecil,tidak menyangka soalan itu terpacul dari mulut anaknya itu.
“Mestilah Ika nak tahu”.
“Ya,ibu cinta pertama ibu dan InsyaAllah,dia akan menjadi cinta terakhir ibu.Kami kenal bila ayah dan ibu bekerjasama untuk projek syarikat kami,kami saling menyimpan perasaan namun disebabkan masa itu ibu telah dilamar oleh seseorang,kami hanya memendamkan apa yang kami rasa.Sehinggalah majlis pertemuan bakal pengantin lelaki,rupa-rupanya ayah adalah orang yang telah melamar ibu tanpa kami berdua tahu.Semuanya perjodohan keluarga”.Ibu tersenyum tersipu-sipu,dia masih mengingati lagi saat-saat pertemuan dia dan suaminya.Maing-masing hanya terdiam,walaupun dalam hati rasa bersyukur yang teramat sangat atas pemberian Allah yang tidak terduga.
“Ok,kisah cinta ibu romantik,Ika jeles”.Ibu ketawa kecil  mendengar kata-kata Zulaika.
“Ika sedang jatuh cinta pada seseorang ke?”,satu soalan cepumas dari ibu.
Wajah ibu dipandangnya,kenapa tiba-tiba soalan itu.
“Kenapa ibu tanya macam tu?”.
“Sebab ibu tengok,sejak Ika sampai tengahari tadi,Ika seperti memikirkan sesuatu.Ika takkan duduk termenung malam-malam kat beranda rumah kalau Ika tak memikirkan sesuatu.Nak share dengan ibu,ramai orang cakap I’m a good listener”.





Zulaika  terasa badannya seperti dicubit-cubit.Adakah ini mimpi,dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan,amal berada di hadapannya.
“Bangunlah makcik subuh dah nak habis ni.Owh,tidur dengan ibu tak ajak aku pun”.
“Bukan tak nak ajak kau,katil ni tak muat.Kau tu tidur lasak”,sengaja Ika menyakat Amal.
Amal menarik muka,ibu keluar dari bilik air.Dia memakai telekungnya,bersiap-siap untuk berjemaah subuh bersama Aizad.
Ketukan di pintu mematikan perbualan Amal dan Zulaika.
“Ibu ,akak dah siap belum?Kita berjemaah sama-sama,Aizad tunggu kat ruang tamu”.
“Dah-dah cepat sikit bersiap,jangan nak bergurau je”.Ibu berpesan sebelum melangkah keluar.Amal menyarung telekungnya,Zulaika pula tergesa-gesa melangkah masuk ke bilik air untuk berwuduk.






Zulaika menyeka air matanya,bimbang jika dilihat ibu dan Amal.Dulu dia pernah mengimpikan lelaki ini menjadi imamnya,dan hari ini tanpa dijangka impian yang telah pun terkubur itu menjadi kenyataan.Dia menjadi makmum kepada Syahrul Aiman,hatinya tersentuh dengan pemberian yang tak terduga Yang Maha Esa…sekurang-kurangnya dalam hidupku dia menjadi imamku walaupun hanya sekali..

Amal menarik Zulaika ke dalam biliknya usai solat subuh,kehadiran Syahrul Aiman di sini betul-betul mengejutkannya dan reaksi Zulaika yang tidak terkejut dengan kehadiran lelaki itu membuatkan dia semakin curiga.
“Explain kat aku,macamana Syah boleh ada kat sini?And kenapa kau tak terkejut langsung dia ada kat sini?”.
“Dia kawan Aizad,aku dah jumpa dia malam tadi”.
“Maksud kau dia abang senior Aizad?”.Zulaika hanya mengangguk.
“Kau tak rasa pelik ke,dalam ramai-ramai senior Aizad,macamana Syah boleh rapat dengan Aizad”.
“Biasa jelah,kau jangan nak mengada-ngada”.
“Mungkin ni peluang kedua untuk kau berterus-terang dengan dia”.
“Sudahlah Amal,dia akan berkahwin tiga bulan lagi.Sejak aku terima kad  kahwin dia,aku dah belajar terima hakikat aku dengan dia memang tidak berjodoh”.
Amal terdiam,kalau itu keputusan  Zulaika dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Kau ok ke dia ada kat sini?”.
“Ok,lagipun petang ni dia dah balik Jb kan”.Zulaika tersenyum,Amal tahu walaupun senyuman terukir di bibir sahabatnya itu,hatinya hanya Allah yang tahu.Ya Allah, Kau lindungilah hati sahabatku ini!!




Syahrul Aiman tersandar di tepi katil Aizad.Aizad sudah pun berada di dapur membantu ibu dan kakaknya menyediakan sarapan pagi.Dari dalam bilik dia mendengar perbualan mereka,sesekali terdengar gelak tawa mereka mebuatkan Syahrul Aiman tersenyum.
Ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya saat ini.Zulaika!Dia sendiri tidak  menyangka dia akan bertemu dengan gadis itu di sini.Kehadiran dia di rumah Aizad pun kerana ingin menenangkan diri dan melupakan gadis itu,namun nampaknya takdir berkata lain.Dia mempertemukan mereka kembali Gembira!Pasti,melihat wajah tenang gadis itu.Hati yang sedang kacau ini mampu tenang hanya dengan sedikit senyumannya.Namun dia harus menerima hakikat hati Zulaika sudah dimiliki oleh seseorang.Sebenarnya dia sengaja memberikan kad perkahwinannya awal kepada Zulaika,dia ingin melihat reaksi gadis itu.Tapi ternyata gadis itu masih lagi mampu tersenyum kepadanya,sangkaannya bahawa gadis itu mempunyai perasaan terhadapnya hanyalah harapan kosong semata-mata.
.
 “Abang Syah,jom breakfast.Ibu dah panggil”,Aizad muncul di depan pintu biliknya.
“Ok,sekejap lagi abang keluar”.Syahrul menarik nafas perlahan.Kuatkah dia untuk terus bertahan untuk memandang Zulaika di meja makan nanti. Bismillahirahmannirrahim,perlahan dia melangkah keluar.




Amal menghampiri Syah yang sedang duduk berehat setelah kembali dari kebun bersama Aizad.
“Kau dah lama kenal Aizad?”.
“Dah lama juga.Tapi semalam aku baru tahu kau kakak dia”.
“Macamana dengan persiapan perkahwinan kau?”.
“Alhamdulillah,segalanya berjalan lancar.Kau dengan Ika duduk lama ke kat sini?”.
“Sampai majlis Aizad selesai,lagipun Ika tu dah lama sangat tak cuti”.
“Owh dua minggulah office Ika tutup”.
“Taklah,Sue kan ada.Lagipun Ika ada ambil photographer baru,office jalan macam biasa”.
“Ika ok ke?”.
“Kau tu ok ke?”.
“Kenapa aku tak ok pulak?”.
“Malam-malam datang rumah orang,lepas tu asyik termenung jauh je.Kau rasa aku mampu berfikir kau tu ok ke”.
Syahrul Aiman mengeluh panjang.
“Tak baik mengeluh,setiap masalah ada penyelesaiannya.Lagipun masalah apa yang buat kau sanggup bawa motor dari Jb ke Melaka malam-malam  macam tu”.
Syahrul Aiman terdiam,bolehkah dia berterus-terang dengan Amal tentang masalahnya.Amal dan Zulaika sahabat baik,pasti antara mereka tiada rahsia.Mampukah dia berkata kepada Amal ‘Masalah aku,aku dah jatuh hati pada Zulaika tapi dia sayang kat orang lain.Aku akan berkahwin lagi tiga bulan,tapi nama Zulaika yang selalu ada dalam fikiran aku'.


“Abang senior Aizad balik bila?”.Zulaika bertanya saat dia dan Aizad sedang mengemas dapur setelah makan tengahari.
“Semalam dia kata nak duduk sini satu hari je,tapi tadi dia cakap nak tunggu sampai majlis Aizad habis.Aizad lagi suka,ada geng”.
Zulaika terdiam,kenapa tiba-tiba Syahrul Aiman mengubah rancangannya.Dia tidak selesa dengan keadaan sekarang,setiap kali mereka saling berpandangan ,jantungnya berdegup kencang.Maknanya dia terpaksa berhadapan dengan lelaki itu selama dua minggu.
“Kak Ika ni kenapa,tiba-tiba termenung?”.
“Tak,takde apa.Aizad dengan ibu jadi tak pergi rumah saudara-mara hantar kad jemputan malam ni”.
“Insya Allah jadi,kak Ika nak ikut tak?Aizad dengar cerita anak maksu yang baru balik dari Australia tu,ada tanya pasal kak Ika.Manalah tahu ,kalau korang berjumpa akak tersangkut kat anak maksu”.
“Amboi,ingat akak apa.Senang-senang je nak tersangkut dengan orang.Hati akak cuma satu je Aizad,dan tak semudah itu untuk akak berikan pada seseorang yang baru akak kenal”.
“Macamana kalau dah kenal lama?Bolehkah awak berikan hati awak untuk seseorang yang sudah lama awak kenal”,satu suara menegur Zulaika dan Aizad dari  belakang.
Syahrul Aiman berdiri di belakang mereka,dari tadi sebenarnya dia mengintip perbualan Aizad dan Zulaika,apatah lagi apabila Zulaika bertanyakan tentang dirinya.Dia perasan gadis itu selalu cuba mengelak untuk berbual atau memandangnya sejak dia berada di sini.
Saat ini pandangan mata Aizad dan Syah tertumpu ke arah Zulaika,menunggu jawapan dari soalan yang diberikan Syah tadi.
“Akak kena tolong ibu kemas depan”.Tanpa menjawab Zulaika terus beredar pergi.




“Ibu,Ika nak ikut ibu pergi hantar kad jemputan malam ni”.Zulaika yang sudah bersiap-siap melangkah keluar dari biliknya.
“Ika penat,takpe ke teman ibu?”.
“Untuk ibu,apa pun Ika sanggup buat”.Zulaika tersenyum sambil memeluk ibunya.
“Aizad tak dapat drive malam ni ibu,tiba-tiba migrain datang”.Aizad yang baru datang dari dapur,di kepalanya bertampal koyok.
“Takpe ayah boleh drive,lagipun bukannya jauh sangat”.
“Malam,mata ayah kurang jelas,biar Ika je yang drive”.
“Kalau tak keberatan,boleh saya yang drive.Dah malam ni”.Syahrul Aiman menawarkan diri tiba-tiba.
“Takpe saya boleh drive”.Zulaika membantah.Salah satu sebabnya pergi kerana ingin menjauhkan diri dengan Syah,namun jika lelaki itu pergi bersama,maknanya mereka akan bersama juga.
“Dah malam Ika,bahaya.Awak tu perempuan”.
“Ayah kan ada”.
“Biarlah Syah yang drive Ika,tak salah pun.Ayah boleh duduk sebelah tunjuk jalan,lagipun kau bukannya biasa memandu malam”.Amal bersetuju dengan kata-kata Syah.
Ibu dan ayah mengangguk bersetuju.Zulaika terpaksa bersetuju apabila ibu dan ayah juga bersetuju dengan kata-kata Amal.

“Owh,jadi Syah dengan Amal ni kawan sekolah.Ika pun samalah.Patutlah pakcik macam perasan Syah ni masa majlis Amal kat rumah pihak lelaki”.Rancak Syah dan ayah berbual,ada sahaja yang mereka bualkan.Namun Zulaika dapat menangkap anak mata Syah yang memandangnya sesekali.
“Makcik dengar dari Ika,Syah lagi tiga bulan nak naik pelamin juga.Tahniah,dapat orang mana?”.
“Terima kasih makcik.Perjodohan keluarga makcik,ini amanat terakhir nenek saya.Lagipun kalau nak tunggu orang suka kat saya,membujanglah nampaknya saya sampai tua”.Sempat Syah menjeling Zulaika di belakang melalui side mirror di tepinya.
“Dah berpunya rupanya Syah,pakcik baru terfikir.Kalau Syah belum berpunya,Ika pun belum berpunya,bolehlah pakcik satukan kamu berdua”.Kata-kata ayah itu membuatkan Zulaika dan Syahrul Aiman sama-sama terbatuk.

Alhamdulillah,perjalanan ke rumah adik-beradik ibu berjalan lancar.Rumah terakhir adalah rumah maksu,kerana rumah maksu lebih dekat berbanding adik-beradik ibu yang lain.Sepanjang perjalanan Syah dan Zulaika lebih banyak berdiam diri,hanya ibu dan ayah yang selalu memulakan perbualan.
“Sebenarnya ibu lupa nak beritahu Ika.Maksu dulu pernah tanya Ika untuk anak dia,Ika nak tak?”.
Zulaika hampir tersedak mendengar pertanyaan ibu yang secara tiba-tiba itu.
“Ibu,malulah Ika.Anak maksu tu dah balik ke,bukannya dia belajar kat Australia ke?”.
“Dah lama dia balik,dah ada kerja tetap pun.Dia yang suruh maksu tanyakan Ika”.
“Ika tak pernah jumpa dia ibu,takut pula nak beri jawapan”.
“Atau Ika dah ada pilihan sendiri?”.Ayah meneka.
“Pilihan sendiri?Taklah,Ika sebenarnya lebih suka ibu dengan ayah yang pilihkan jodoh untuk Ika ,lebih berkat.Tentang anak maksu,Ika fikirkan dahulu ya”.
“Takpe,maksu cuma bertanya.Dia tak paksa Ika”.
“Dah sampai pun rumah maksu.Manalah tahu ada anak maksu,bolehlah Ika tengok dia sekali”.Ibu sengaja mengusik Zulaika.
Syahrul Aiman diam sahaja,dari tadi dia mendengar perbualan tiga beranak ini,walaupun ayah dan ibu hanyalah keluarga angkat Zulaika,dia melihat mereka sangat mesra.Kata-kata ibu tentang risikan dari maksu membuatkan Syahrul Aiman resah.Dan kata-kata Zulaika bahawa dia tiada pilihan sendiri,juga mengelirukannya.Bukankah Zulaika sudah mempunyai pilihan sendiri,iaitu si tompok?


Sepanjang perjalanan balik ke rumah Zulaika asyik disakat oleh ibu dan ayah tentang anak maksu.Tidak habis-habis mereka berdua mengenakan Zulaika.Apatah lagi apabila Zulaika seakan tergamam apabila melihat anak mak su begitu juga Syahrul Aiman.Mereka pernah berjumpa di perhentian rehat,dialah lelaki yang mencuba untuk memikat Zulaika saat itu.


“Teringat anak mak su?”,satu suara menegur Zulaika dari belakangnya.Syahrul Aiman sedang berdiri di tepi pintu keretanya.
“Kenapa tak tidur lagi?”.Pertanyaan Syah tidak dijawab,malas mencari pasal.
“Awak memang suka beri jawapan dengan soalan”.
“Dan awak memang suka tanya soalan yang orang memang taknak jawab.Adil kan?”.
“Malam-malam cuci kereta ,esok kan ada?”.
“Saya tak rasa saya susahkan orang ,basuh kereta malam-malam”.
“Saya ada buat salah dengan awak ke?Sejak saya sampai sini,saya rasa awak memang tak suka saya ada kat sini”.
“Encik Syah,jangan suka menuduh orang sembarangan”.
“Cik Ika,saya bertanya bukan menuduh”.
Suara kedua-duanya mula meninggi.Astagfiruallahalazim!Syah beristigfar,dia sepatutnya pandai mengawal amarahnya.
“Saya minta maaf Ika,saya tak nak gaduh dengan awak.Tak selesa kalau dua minggu saya ada kat sini,kita bermasam muka”.
“Saya pun,saya penat agaknya.Sebab tu saya mudah terasa dengan kata-kata awak”.
“Saya tolong awak basuh kereta”.Zulaika mengangguk,dia menghulurkan span dan baldi berisi air sabun kepada Syah.
Amal hanya memandang dua orang sahabatnya dari jauh.Melihat senyuman yang terukir di wajah mereka,hatinya tumpang gembira.Ya Allah,Kau satukanlah mereka.Kasihanilah hati mereka yang terluka kerana asyik memendam perasaan.Ajal,maut,jodoh dan pertemuan terletak di tanganMu Ya Allah.SesungguhNya hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaMu.


Dengan sekali lafaz Aizad sudah bergelar suami kepada Nurul Syakirin.Ibu dan ayah tidak henti-hentinya tersenyum apatah lagi Aizad yang asyik tersenyum memandang isteri yang baru dinikahinya itu.
“Amboi,lebarnya senyum.Dah hilang nervous awak?”,Zulaika mengusik Aizad dan isterinya.
“Bahagia”.Ringkas sahaja jawapan Aizad,dia mengenggam erat tangan isterinya.
“Jaga Nurul baik-baik.Dia amanah Allah untuk Aizad.Nurul,kalau Aizad buat hal,beritahu je kat kak Ika dengan kak Amal,tahulah kami kerjakan dia”.
Nurul Syakirin hanya tersenyum mendengar kata-kata kakak iparnya itu.
“Betul tu Nurul,kalau dia nakal-nakal.Kak Amal piat telinga dia”.
Aizad hanya ketawa mendengar usikan kakak-kakaknya.

“Kak Ika,maksu datang sini?”.Aizad mengusik Zulaika pula,dia tahu kakaknya itu sedang mengelak untuk bertemu dengan maksu yang asyik bertanya tentang risikan.
Zulaika mengerut dahinya.
“Amal,tolong aku.Kau tahu aku malas nak jumpa maksu,aku belum ada jawapan untuk dia”.
“Aku nak buat apa,dia dah ada pun kat belakang kau.Lebar betul senyuman maksu hari ni,maklumlah nak dapat menantu”.Sempat Amal mengusik Zulaika.
“Tahniah Aizad,molek benar maksu tengok Aizad dengan Nurul.Maksu doakan Aizad dengan Nurul bahagia sehingga ke syurga.InsyaAllah lepas ni giliran Ika dengan anak maksu pula.Betul tak Ika?”.
“Ya ibu,Ika datang.Maksu kejap ibu panggil”.Zulaika terus beredar pergi menuju ke arah pintu tempat ibunya berdiri.Aizad dan Amal tertawa melihat telatah Zulaika yang sedaya upaya menolak bertemu dengan maksu.

Terbongkok-bongkok Zulaika keluar dari belakang masjid.Dia tahu jika dia keluar dari hadapan pintu masjid ,pasti maksu menunggunya.
“Beritahu jelah maksu,awak dah ada pilihan sendiri”.Satu suara menegur Zulaika dari belakang.
“Astagfiruallahalazim!Awak memang suka terkejutkan orang macam tu ke Syah?”.
“Saya memang lalu kat sini,awak tu yang datang tiba-tiba.Lepas tu terbongkok-bongkok,sampai bila nak lari dari maksu?”.
“Saya tak nak kecewakan maksu.Tapi saya belum bersedia nak beri jawapan”.
“Awak ni complicated sangat Ika.Susah-susah sangat awak nikah dengan saya je lah”.
“Syah,lawak awak tak kelakar tau.Kalau orang dengar ,dah tak elok jadinya”.
“Macamana kalau saya cakap itu bukan lawak.Saya serius”.
“Malas nak layan awak,bagi kat saya kunci kereta Aizad.Awak bawak kereta saya,beritahu Amal,saya balik dulu”.
“Kalau awak nak kunci ni,ambillah”.Syah sengaja mempermainkan Zulaika yang lebih rendah daripadanya.
“Berilah cepat,nanti maksu nampak saya”.
“Lupakan si tompok Ika,awak jadi isteri saya”.
“Sekarang bukan waktunya untuk buat lawak Syah,awak nak saya marah ke baru awak nak beri kunci kereta tu”.



“Lupakan si tompok Ika,awak jadi isteri saya”.Kata-kata Syahrul Aiman itu bermain-main di benak fikiran Zulaika.Dia menganggap lelaki itu hanya bergurau dengannya,namun dari riak wajah Syah ketika dia mengungkapkan kata-kata itu,dia seakan merasakan lelaki itu serius dengan kata-katanya.
Lupakan si tompok?Macamana dia harus melupakan si tompok sedangkan si tompok itu adalah Syahrul Aiman.Zulaika menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.Dia terganggu juga dengan kata-kata Syah kepadanya itu.Akhirnya sampai juga dia di rumah,dia nekad kalau boleh sepanjang majlis persandingan Aizad,dia akan cuba mengelak bertembung dengan maksu dan anaknya.Dia belum bersedia.
“Lambatnya sampai rumah,saya dengan Amal dah sempat makan”,satu suara menegur Zulaika yang baru keluar dari kereta.
Malas hendak melayan kata-kata Syah,Zulaika terus melangkah masuk ke dalam rumah.Amal dan Syahrul Aiman berpandangan sesama sendiri,melihat mood Zulaika yang tiba-tiba hilang.
“Dekat masjid tadi,kau ada cakap apa-apa ke kat dia”.Amal bertanya.
“Cakap hal biasa je lah.Owh,aku ada cakap lupakan si tompok,nikah dengan aku”.
“Syah,kau tahu dia tak suka kau cakap tentang si tompok”.
“Apa yang istimewa sangat tentang si tompok tu sampai dia tak mampu buka pintu hati dia untuk orang lain”.
“Orang lain tu kau ke?”.
“Dia takkan pandang aku Amal.Dia terlalu sayangkan orang yang belum tentu sayangkan dia”.
“Kau sayangkan dia ke?”.
“Aku tak tahu Amal,tapi aku selesa dengan dia.Ada sesuatu pada dia yang buat aku rasa aku mampu bahagiakan dia”.
“Beritahu dia Syah.Kau beritahu aku,aku bukan boleh buat apa-apa”.
“Aku takut dia tak mampu terima aku.Kau sendiri tahu sampai sekarang dia masih belum lupakan si tompok”.
“Kau beritahu dia tentang perasaan kau pada dia sebelum terlambat.Dan aku pasti kau akan terkejut bila kau tahu siapa si tompok tu Syah”.Syahrul Aiman mengerutkan dahinya,tidak faham dengan kata-kata Amal bahawa dia juga akan terkejut apabila mengetahui siapa si tompok itu.

Zulaika melarikan diri dari keriuhan majlis.Setelah menunaikan solat asar dia duduk berehat di biliknya.Para tetamu sudah pun mula berkurang,yang tinggal hanyalah saudara –mara.Dari tingkap biliknya Zulaika memandang ke luar rumah,pandangan matanya tertumpu kepada seseorang di bawah khemah.
Syahrul Aiman,dia perasan lelaki itu asyik mencuri pandang ke arahnya sejak dari tadi.Dan setiap kali mata mereka bertembung,pasti sebuah senyuman dihadiahkan kepadanya.
‘Lupakan si tompok Ika,nikah dengan saya’.Seriuskah dia berkata-kata sebegitu.






No comments:

Post a Comment