Thursday

SALAHKAH AKU UNTUK MEMILIH SYURGA (IV)



“Apa yang berlaku sebenarnya Sofea,macamana Auni boleh jadi macam ni?Seminar tu habis pukul 7 kan,kenapa tak balik terus,kenapa nak pergi bandaraya Johor Bharu dulu?”.Farah bertanya Sofea yang masih menangis tiada hentinya dari tadi.

“Auni nak sangat solat di Masjid Abu Bakar,aku cuma nak sedapkan hati dia,dia dah separuh merayu pada aku.Aku berat hati nak ikut cakap dia,tapi dia sampai menangis.Kami solat Magrib dan Isyak kat situ,sebelum balik,aku pergi  tandas sekejap,Auni jalan dulu ke kereta.Bila aku keluar dari tandas,aku tengok orang ramai dah berkerumun,aku nampak tubuh Auni yang berdarah di tepi jalan.Dia dah kena langgar masa aku keluar tu”.Tersedu-sedu Sofea menangis.

“Kalau aku tahu akan jadi macam ni,aku takkan ikut cakap dia.Kau janganlah marah aku”.

“Dah,jangan menangis lagi.Aku tak marah,aku bertanya je.Pergi bersihkan badan,aku ada bawa baju kau ,tak elok biar darah tu sampai kering kat baju kau”.Farah memujuk Sofea yang masih lagi menangis,kehadiran keluarga Auni membuatkan tangisan Sofea semakin kuat.


“Salahkah aku untuk memilih jalan menuju ke syurga?Kau tahu kadang-kadang aku sedih sebab dah 25 tahun aku hidup,tapi selama ni aku kurang kenal Allah.Aku tak pernah salahkan ibu dengan ayah aku,mereka sudah cukup memberi apa yang aku perlukan semampu mereka.Dari kecil aku dididik dengan agama,dihantar ke sekolah agama,tapi aku masih belum mampu mengenal siapa PenciptaKu.Hanya kerana satu musibah yang hampir meragut nyawa,barulah aku tersedar.Aku tak dapat bayangkan kalau sampai akhir hayat aku masih terus leka dengan dunia indah ciptaan aku sendiri.Tapi sekarang saat aku mula sedar,inilah jalanku,aku mula diuji dengan orang-orang disekelilingku.Mungkin aku yang terlalu emosi menganggap kata-kata mereka itu sindiran,namun sebenarnya kata-kata mereka itu adalah teguran.Allah dah beri aku 25 tahun peluang untuk hidup leka dengan duniawi,tak salah rasanya kalau aku bersabar sedikit untuk menghadapi hari-hari mendatang sebagai mehnah atas dosa-dosa aku selama ini”.

“Jalan yang kau pilih ni jalan yang terbaik Auni.Cuma saat ini Allah nak menguji kau,kita akan diuji dengan apa yang kita paling sayang.Ingat tak ayat tu,mungkin sekarang ni waktu kau untuk yakinkan hati kau,kau memang sayang keluarga kau,tapi Allah tetap yang pertama.Allah nak tengok sejauh mana kau bertawakal pada dia,kau beruntung Auni,tak semua orang diuji dengan cara sebegini.Kita tengok saudara se islam kita di palestin,Allah menguji mereka lebih dahsyat dari kita.Disini kita menangis kerana terasa hati dengan kata-kata ibu,bersedih kerana ayah tidak meluangkan masa dengan kita,merajuk dengan adik –beradik yang seakan tidak memahami kita.Tapi mereka di sana,mereka menangis kerana kehilangan ibu yang syahid kerana menjadi mangsa bom,bersedih kerana terpaksa berpisah dengan ayah yang pergi berjuang dan akhirnya gugur syahid dan merindui adik-beradik yang telah gugur syahid kerana menjadi mangsa  zionis yang kejam.Kalau dibandingkan ujian kita dengan mereka,di mana agaknya kedudukan kita di akhirat nanti”.

“Ingat janji kau pada aku Sofea,kau pernah berjanji kalau aku yang pergi dulu,kau nak doakan aku.Tolong ye Sofea,aku bimbang kejahatan yang aku bawa lebih banyak berbanding kebaikan”.

“InsyaAllah Auni,kalau bukan sebab doa aku pun.Aku yakin Allah takkan pernah tinggalkan hamba-hambaNya yang betul-betul berserah diri padaNya di akhirat kelak”.




Air mata Sofea mengalir deras,mengingat semula perbualan terakhir dia dan Auni selepas mereka  solat Isyak di Masjid Abu Bakar.

“Kau kena  kuat Auni,ingatlah Allah selalu ada bersama kita”.Sempat Sofea membisikkan kata-kata itu di telinga sahabatnya tadi.



Farah mencari Sofea,tiba-tiba gadis itu menghilangkan diri.Jam sudah pun menunjukkan pukul 3.30 pagi,keadaan Auni masih kritikal.Ahli keluarga Auni yang lain semua sudah pergi ke rumah saudara mereka yang berdekatan,kecuali ibu ,dan adik perempuan Auni yang masih duduk menunggu di sisi Auni tanpa hentinya membacakan Yassin.
Langkah kaki Farah terhenti,dia melihat Sofea sedang duduk termenung seorang diri kawasan masuk ambulans.

“Dah puas menangis?Ke nak sambung lagi sampai esok”.

“Salah aku semua ni terjadi,kalaulah aku tetap dengan keputusan aku untuk terus balik,tentu perkara ni tak jadi”.

“Ini semua takdir Allah,tiada apa yang mampu menolaknya.Kun fayakun,jadilah;maka jadilah apa yang dikehendakinya.Kita nak mengelak macamana sekalipun,perkara tetap akan berlaku”.

“Siapa teman Auni kat wad?”.

“Ibu dengan adik perempuan dia”.

“Bila dah terbaring lemah macam tu,baru nak menyesal.Masa orang tu sihat,tak pernah nak hargai”.

“Jangan cakap macam tu,kita tak tahu apa dalam hati setiap orang,mungkin ibu Auni tu nampak keras di luar,tapi di dalam dia lembut”

“Kau tak tahu cerita yang ibu dia paksa dia untuk tetap meneruskan perkahwinan”.

“Perkara tu dah berlalu,mungkin sekarang ibu dia dah menyesal.Beri dia peluang,mungkin dengan terjadinya perkara ini,ibu Auni terbuka hatinya untuk lebih berlembut dengan anak-anak”.

“Sebelum perkara ni berlaku,aku tengok dia gembira sangat masa masa aku setuju nak pergi Masjid Abu Bakar tu,aku tak sangka itu permintaan terakhir dia.Kami ada berbual selepas solat isyak tu,cara dia cakap macam dia nak pergi jauh sangat,sejak kebelakangan ini pun dia selalu sebut tentang siapa yang pergi dulu antara kita ni nanti.Aku sepatutnya dah boleh jangka perkara ni?”.

Farah terdiam,dia membuka telefon miliknya,dia menunjukkan chating Antara dia dan Auni malam semalam,dia pun pelik apabila Auni seolah-olah mahu pergi jauh,apabila berpesan seperti itu.

“Dan,kau nak tahu tak minggu lepas masa dia datang tempat kerja aku,dia ada cakap sesuatu ayat yang buat aku terfikir-fikir.Kadang-kadang Allah memang biarkan insan-insan di sekeliling kita untuk tidak menghargai apa yang kita buat untuk mereka kerana Allah nak kita ni cari reda dan pandangan Allah berbanding reda dan pandangan manusia”.

Sofea terdiam.Kata –kata Auni yang diberitahukan kepada Farah itu betul-betul menusuk ke dalam dadanya.Perlakuan dan kata-kata Auni sepatutnya boleh memberitahu mereka berdua,ada sesuatu yang akan berlaku kepada sahabat mereka itu.

 “Jom buat solat hajat untuk Auni”.Sofea mengangguk perlahan.Dia mengikuti langkah kaki Farah menuju ke surau.




“Sofea,Farah.Bangun,dah solat Subuh ke?Dah pukul 6.15 ni”.Sofea terdengar suara ibu Auni.Dia membuka matanya.Farah masih lagi terlena di tepinya.Malam tadi selepas solat hajat,mereka tertidur di dalam surau.

“Belum solat lagi,Auni macamana makcik?Dia dah sedar ke?”.

“Belum lagi,kena tunggu doktor pakar,pagi ni mereka sampai.Makcik pergi ambil wuduk dulu ,ganti-ganti dengan adik Auni”.

Sofea menggerakkan tubuh Farah,ngantuk benar kawannya ini.Balik dari kerja terus ke hospital,tentu dia masih lagi letih.

“Farah,bangun.Kita solat subuh”.




“Kami dah berusaha sedaya upaya kami,tapi cik Auni sendiri sudah mengalah.Dia tidak mampu lagi berjuang dalam keadaan tubuh badannya yang sangat lemah.Pihak kami hanya mampu memberi  cadangan untuk  terus menyambung mesin hayat,namun kami masih tidak dapat memberi jaminan cik Auni akan kembali pulih seperti biasa ataupun kami terpaksa menghentikan sambungan mesin hayat untuk Cik Auni supaya dia dapat berehat dengan tenang  dan tidak terus menahan kesakitan”.
Masing-masing terdiam.Sofea dan Farah sudah pun terduduk di tepi,ibu Auni tidak berkata apa,hanya air mata yang mengalir di pipinya.Ahli keluarganya yang lain sudah menangis tersedu-sedu.

“Biarkan dia pergi dengan aman doktor,saya sebagai ayah dia,memberi keizinan untuk doktor menghentikan mesin penyambung hayat itu”.

“Ayah,ayah dah tak sayang Auni ke?”.Ibu Auni membantah.

“Sebab sayang,ayah terpaksa buat keputusan seperti itu”.

“Dengan membiarkan Auni pergi untuk selama-lamanya”.

“Ikhlas ibu,memang sudah sampai waktunya.Ayah tak sanggup biar Auni terus menderita menahan kesakitan kerana kita yang terlalu pentingkan diri dan perasaan kita”.

“Ibu tak setuju!!”.

“Kami pun tak setuju ayah”.Adik-beradik yang lain pun membantah keputusan ayah.

“Saya tetap dengan keputusan saya doktor.Ini keputusan saya sebagai ketua keluarga dan seorang ayah yang masih menanggung dosa anak perempuannya”.
Ibu Auni sudah pun meraung di sisi ayahnya.

Farah dan Sofea hanya terdiam,mereka hanya sahabat,tidak mampu untuk mencampuri urusan keluarga Auni.Namun mendengar kata-kata ayah Auni,mereka mula sedar Auni akan pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.

“Kami berikan pakcik dengan makcik waktu untuk berbincang,kalau semua sudah bersedia,boleh datang ke bilik doktor untuk tandatangan surat kebenaran”.

Ayah Auni berjalan keluar,dari jauh Sofea dapat melihat ayah Auni mengelap air matanya.Bukan mudah untuk seorang ayah memberi kebenaran untuk menghentikan mesin yang menyambung nyawa anaknya.Dari mana ayah Auni mendapat kekuatan itu,Sofea tertanya-tanya sendiri.




“Sofea”.Lembut satu suara menegurnya.Sofea terjaga dari tidurnya,dia membuka matanya.Ada air mata yang masih berbaki di pipinya,dia melihat Farah yang sedang terlelap di kerusi di tepinya.Adik perempuan Auni masih setia di sisi membacakan Yassin untuk kakaknya.Kau beruntung Auni,adik kau seperti kau.Aku dapat lihat dia juga seperti kau yang sedang mengejar cinta Allah.Tapi siapa yang memanggil namanya tadi.Sofea memandang wajah Auni yang dipenuhi dengan mesin pernafasan.

“Kau ingat tak kau pernah cakap pada aku,kau tak sedia lagi nak hilang orang-orang yang kau sayang.Kami semua pun pun belum bersedia untuk hilang kau dari hidup kami. Kau nak raih cinta Allah,tapi kau nak tinggalkan kami berjuang bersendirian di dunia ni!Kau kena berjuang Auni!Belum masanya lagi!Keluarga kau,sahabat-sahabat kau masih perlukan kau!!!”.Sofea berbisik perlahan di telinga Auni.Dia dapat melihat air mata sahabatnya itu mengalir di pipi.Ya,dia tahu sahabatnya itu mendengar kata-katanya,doktor ada memberitahu,memang Auni tidak sedar dari komanya namun dia mampu mendengar setiap kata-kata orang yang datang.

Tangan Sofea tiba-tiba digenggam erat,tubuh Auni menggigil.Adik perempuan Auni sudah keluar memanggil doktor dan ahli keluarganya.Farah di sebelah tersedar apabila mendengar suara jeritan adik Auni memanggil ahli keluarganya.

“Kenapa ni Sofea?”.

Belum sempat Sofea menjawab soalan Farah,Auni secara tiba-tiba muntah darah.Semakin kuat tangisan Sofea,Farah pula menjerit memanggil doktor.

“Sakit!!”.Sofea sempat mendengar perkataan itu keluar dari mulut Auni sebelum doktor menyuruhnya keluar dari bilik.



Allah!Begini rasanya apabila kita akan kehilangan orang yang disayangi.Hati bagaikan disiat-siat apabila melihat orang yang disayangi berada dalam kesakitan.Bersediakah aku Ya Allah untuk kehilangan dia.Dan bersediakah aku apabila tiba saatnya aku juga akan kembali padaMu!!!Sofea membersihkan darah yang ada di tangannya.Farah di sisi sudah menangis teresak-esak.Akhirnya kau kalah juga dalam pertempuran Farah,kau menangis juga,walaupun dari semalam kau tahan air mata kau.


“Kami perlukan keputusannya sekarang.Jujur kami memang tidak mampu menjanjikan apa-apa lagi,keadaan cik Auni terlalu kritikal”.

“Ibu mana?”.Soal ayah Auni apabila melihat isterinya tiada.

“Ibu dekat surau,adik dah panggil ibu”.

“Abang,saya ikhlas lepaskan Auni.Mungkin ini yang terbaik”.Ibu Auni muncul dari belakang.

Masing-masing sudah meraung.Ayah Auni memeluk ibunya,dia mengambil kertas kebenaran yang diberikan doktor,perlahan dia menandatangani surat kebenaran yang diberikan.




“Dia sangat sayang ibu,ayah dan adik-beradik dia.Dia selalu bercerita,kalau boleh dia nak semua ahli keluarga dia masuk syurga.Soalan yang selalu dia tanya Sofea sejak akhir-akhir ni,SALAHKAH AKU MEMILIH JALAN KE SYURGA?”.

Ahli keluarga Auni terdiam,masing-masing mengelap air mata yang mengalir di pipi.Jenazah Auni sudah
selamat dikebumikan.Setelah balik dari kubur,ayah Auni mengeluarkan satu surat.Surat ini yang  menyebabkan dia mendapat kekuatan untuk mengizinkan doktor menghentikan mesin penyambung nyawa Auni.Dia terjumpa surat ini ketika dia hendak menuju ke hospital  ,surat ini tersimpan kemas di dalam dashboard keretanya.
Surat ini juga yang diberikan kepada isterinya selepas isterinya tidak setuju dengan keputusannya tadi.Namun dia sengaja merahsiakan surat ini dari anak-anak dan kawan Auni sehinggalah jenazah Auni selamat dikebumikan.





“Tengok anak orang tu,pakai macam tu?Tak malu ke?”.
“Ayah dia tak marah,sebab tu dia tak kisah pakai baju macam tu.Ayah nak tahu sesuatu tak?”.
“Setiap kali seorang anak perempuan keluar dari rumahnya tanpa menutup aurat dengan sempurna.Ayahnya yang akan menanggung dosa.Sebab tu kakak dengan adik pakai tutup aurat,kami tak nak ayah kena tanggung dosa atas perbuatan kami.Sebab kami sayang ayah,ayah dah susah payah membesarkan kami,takkan kami nak biarkan ayah tanggung dosa kami”.
“Terima kasih”.Ayah seorang yang sederhana,walaupun jarang menunjukkan kasih sayang,Auni  tahu ayah seorang yang penyayang.Ucapan terima kasih itu sudah cukup bererti bagi Auni.

Ibu,walaupun terkadang kata-katanya membuatkan hati ini berjauh hati.Namun dia tetap seorang ibu.Ibu seorang ibu yang tegas,namun sebenarnya hatinya sangat lembut,dia mudah membantu orang lain walaupun kadang dia terlepas pandang pada anaknya sendiri.Namun dia tetap ibu yang terbaik.Cuma kadang-kadang kami tidak sefahaman.Tapi kuasa Allah,kasih sayang untuk ibu selalu ada dalam hati ini,tidak pernah berkurang.Waktu yang paling bahagia adalah saat ibu mengandung dan melahirkan Auni,itu detik terindah dari ibu untuk Auni.Walaupun terpaksa berkorban nyawa itupun tidak mencukupi untuk Auni berikan ucapan terima kasih untuk ibu kerana melahirkan Auni di dunia ini.
Along dan adik-adik yang lain.Kawan bergaduh,kawan baik,.kamu semua adalah anugerah Allah untuk Auni.Mungkin kadang-kadang kita tak sefahaman,namun perbezaan itu yang membuatkan kita semakin rapat.InsyaAllah kalau Auni mampu,Auni nak kita semua tetap bersama di dunia dan di akhirat.Auni selalu berdoa semoga kita semua mampu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah untuk ibu dan ayah.Supaya kita semua nanti dimasukkan ke syurga…

Sofea,Farah.dua insan istimewa…kamu berdua cahaya yang Allah hantar pada aku untuk aku hilang dari kegelapan.Kita berkongsi cinta yang ,CINTA ALLAH YANG MAHA ESA…Jika satu hari nanti antara kita bertiga ada yang pergi dulu,aku cuma berharap orang itu adalah aku,..
Allah!Jika satu hari nanti sudah tiba masaku,kau berikanlah aku peluang untuk bersujud di rumahMu untuk terakhir kali..Agar hati ini mendapat sedikit kekuatan untuk menghadapMu kelak…semoga hati ini selalu berada di jalanMu…

SALAHKAH AKU UNTUK MEMILIH SYURGA (III)





Auni terdiam mendengar kata-kata ibunya.Tiada jawapan yang mampu dia berikan atas persoalan yang ditanyakan oleh ibunya.Jujur,saat ini dia langsung belum terfikir untuk berkahwin.Risikan dari salah seorang sahabat ibu untuk dirinya membuatkan Auni buntu.Dia belum bersedia,perkahwinan adalah tanggungjawab.Macamana dia nak bertanggungjawab pada orang lain,sedangkan dengan diri sendiri pun kadang-kadang dia lalai.

Petang itu dia mengajak Sofea dan Farah bertemu di kawasan yang berdekatan dengan tempat kerja Farah.

“Ada orang datang merisik aku?”.Sofea dan Farah tersenyum.

“Alhamdulillah,dapat orang mana?”.

“Kawan ibu aku.Tapi aku belum bersedia”.

“Nak tunggu bila kita dah betul-betul bersedia,kita memang takkan berkahwin.Perkahwinan itu untuk saling melengkapi,mungkin  kekurangan yang ada pada kau,dia mampu  sempurnakan ,dan juga sebaliknya”.Sofea cuba meyakinkan Auni.

“Orangnya macamana.Kau pernah berjumpa dengan dia tak?”.Farah bertanya.

“Pernah  berjumpa,sebab aku pernah berjumpa,sebab aku pernah kenal dia orangnya macamana,hati aku ni semakin berat nak menerima dia”.

“Teruk sangat orangnya?”.Sofea menduga.

“Semua manusia tak sempurna,aku tahu tu.Mungkin aku terlalu cerewet.Tapi bagi aku kalau seorang lelaki tu boleh tinggalkan Allah,tak mustahil dia boleh tinggalkan aku juga satu hari nanti”.

“Apa maksud kau?”.

“Kalau solat jumaat yang seminggu sekali tu dia boleh tinggalkan,apatah lagi solat fardu yang sehari lima kali tu.Cukuplah dia lelaki yang boleh mengimamkan aku dalam solat,aku rasa aku mampu hidup dengan dia untuk seumur hidup walaupun mungkin bukan dalam kemewahan”.

“Apa pun keputusan kau kami selalu sokong kau Auni.Aku pun kadang-kadang terfikir kenapa ibu bapa zaman sekarang risau anak gadis mereka tak berkahwin walaupun umur sudah lanjut.Sepatutnya yang mereka risaukan,calon suami anak mereka yang mampukah membimbing anak mereka ke syurga kelak”.

“Tapi kau tak nak beri dia peluang,mungkin selepas kahwin dia akan berubah”.Farah pula berkata.Tidak salah rasanya memberi peluang pada orang lain untuk dia berubah.

“Aku tak cukup kuat untuk membimbing sedangkan aku masih perlu dibimbing.Aku pernah terbaca,seorang lelaki boleh boleh berkahwin dengan seorang wanita yang menjalani gaya hidup bebas dan sosial,kerana  wanita hatinya lembut,mudah untuk dibawa ke jalan yang lurus.Namun wanita  solehah tidak digalakkan berkahwin dengan lelaki yang menjalani gaya hidup bebas dan sosial kerana bimbang wanita tersebut akan terikut dengan perangai lelaki tersebut”.

“Ok,kata-kata kau ada point kat sini,aku bersetuju.Kita ni pun sedang mengenali erti islam yang sebenarnya,tiba-tiba kita terpaksa hidup dengan orang yang  tak menjalani gaya hidup sebagai orang islam,bahaya tu.So,apa kau nak beritahu kat mak kau nanti,dia tengah tunggu jawapan kau kan”.

“Aku minta tempoh untuk berfikir,mungkin selepas balik dari seminar solat nanti,aku akan beritahu jawapan aku”.




BUKAN NAK MENCARI YANG TERLALU SOLEH,
TAPI BIMBANG JIWA YANG RAPUH INI
MUNGKIN AKAN TERPEDAYA DENGAN DUNIA,
JIKA YANG MENJADI KETUA KELUARGA
KELAK TAK MAMPU MEMBIMBING KE JANNAH…

Auni mencoretkan kata-kata itu di stick note dan di tampal di helaian buku bacaannya.Mungkin ada benarnya kata Farah,tiada salahnya untuk memberi peluang kepada seseorang.Allah Yang Maha Esa selalu beri peluang pada hamba-hambaNya,aku manusia yang jahil ni,sombongnya aku jika aku tak mampu beri peluang pada insan lain.



Telefon di tepi katil berbunyi,dia melihat jam di dinding.Pukul 12.30 tengah malam,siapa yang menelefon dia lewat malam begini.
Nama Farah terpapar di skrin telefon,Auni menekan butang answer.

“Assalamualaikum”.

“Waalaikumussalam.Kau kat mana sekarang?”.

“Dekat rumah,dah pukul 12.30 tengah malam kan.Kenapa ni?”.

“Boleh keluar sekejap tak,kalau tak boleh takpe”.

“Farah,kau kat mana?Tunggu aku datang,aku ajak Sofea sekali ea”.

“Aku ada dekat  Danga Bay”.


Auni memandang Sofea yang sedang memandu,nasib baik ibu Sofea tidak banyak bertanya apabila dia datang tadi.Terpaksalah tipu sunat kononnya dia dan Sofea hendak ke kedai mamak.

“Apa yang terjadi sebenarnya?Dia takde cerita apa-apa pada kau ke tadi?”.Sofea bertanya.Terkejut dia tadi apabila mendapat panggilan telefon dari Auni,dia yang sedang nyenyak tidur terus terbuka luas matanya apabila Auni memberitahu Farah sekarang berada di Danga Bay seorang diri.

“Aku tak sempat nak tanya,lagipun aku dengar nada suara dia bergetar macam orang sedang menangis.Dah pukul 1 lebih ni,duduk kat tepi pantai macam tu seorang diri,bahaya betul budak ni”.

“Kita doakan dia supaya Allah sentiasa melindungi dia,pagi-pagi ni kereta dah tak banyak.Sekejap lagi sampailah kita”.




“Wawan kena kahwin dengan orang lain,mak dia dah carikan jodoh untuk dia.Aku tak tahu nak buat apa?Balik dari kerja tadi aku drive ikut jalan besar,sedar-sedar dah ada kat Danga Bay”.
Sofea dan Auni menarik nafas panjang,selamba sahaja Auni mencubit pipi Farah,geram!Terdengar jeritan kecil Farah.

“Ingatkan apalah,tahu tak kami berdua ni risau.Awak tu anak dara,malam-malam kat tempat macam ni seorang diri”.Giliran Sofea pula mencubit pipi Farah.

“Aku tahulah pipi aku ni comel,tapi sakit tahu tak.Thanks sebab sudi datang,melayan perangai gila aku ni”.

“That’s what friends for..”.Auni berkata.Sofea dan Farah tersenyum.

“Kau dah ok ke sekarang?”.

“Alhamdulillah,sekarang dah ok.Tadi je,emosional sangat kot aku ni,lagipun dalam dunia ni bukan Wawan seorang lelaki dalam dunia ni.Biarlah mak dia nak sangat anak dia kahwin dengan orang Terengganu,orang Johor ni tak rasa rugi apa pun”.

“Orang Johor ni cari orang Johor je la,nanti tak jauh sangat kalau nak balik kampung masa raya”.Auni mengusik.

“Aku nak cari orang Pulau Pinang la pula lepas ni.Terengganu dah memang blacklist”.Ketawa kecil Auni dan Sofea mendengar kata-kata Farah.Farah,dia memang seperti itu,masalah tak pernah membuatkan dia bersedih terlalu lama.Itu salah satu sifat Farah yang dikagumi Auni.

“Laparlah,jom pergi makan”.Sofea yang diam dari tadi tiba-tiba berbunyi.

“Lapar?Tak takut badan naik ke?”.Soal Auni,dia tahu Sofea sedang menjalani amalan diet sejak kebelakangan ini.

“Malam ni je,lagipun aku kalau dah terbangun dari tidur aku kena makan,kalau tak susah nak tidur semula nanti”.

“Jom pergi kedai mamak,aku belanja”.Farah memberi cadangan.

“Cantik,aku pun dah lama teringin nak makan roti nan cheese”.Auni tersengih lebar.Ada hikmahnya juga Farah membawa diri ke sini,tercapai juga hasratnya untuk makan roti nan cheese yang sudah seminggu dia inginkan.




“Bulan depan pertemuan keluarga,ibu nak Auni bersedia.Ini semua demi masa depan Auni”.
Terdiam,dia tidak tahu untuk berkata apa.Wajah ibunya menunjukkan dia sudah nekad dengan keputusan yang telah dibuatnya.

“Tapi kita dah janji nak bincang hal ni lepas Auni balik dari seminar kat Johor tu”.

“Keputusan ibu tetap sama,umur dah jejak 25 tahun,awak nak tunggu apa lagi”.

“Auni tak nak tergesa-gesa ibu”.

“Tak semestinya dia tak pakai songkok,jubah serban,dia bukan orang yang baik.Zaman sekarang,ramai orang berpura-pura.Auni nak tunggu ustaz mana masuk meminang?Tak semua ustaz tu betul”.

“Auni tak pernah mengharap orang yang lebih baik dari Auni ibu,cukuplah orang yang mampu membimbing Auni.Tapi sekarang Auni masih belum bersedia ,Auni tak nak nanti perkahwinan yang tergesa-gesa ni membuat kami merasa tidak bahagia kelak”.

“Itu semua alasan Auni.Ibu dah agak Auni akan menolak ,tapi ibu akan teruskan juga.Mahu atau tidak,pertemuan bulan depan tetap akan diteruskan”.Ibu sudah pun bangun dari kerusi meninggalkan Auni yang masih tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya itu.ALLAHU RABBI!!!Setitis demi setitis air matanya mengalir.


“Mungkin ini yang terbaik,kau kan memang ada beritahu aku kau nak beri lelaki tu peluang.Mungkin ini memang jalannya cuma cara kau kena terima dia agak drastik”.Sofea cuba mempositifkan sahabatnya itu,terkejut juga dia pagi itu apabila mendapat panggilan telefon dari  Auni yang menangis ketika bercakap dengannya.

“Tapi aku terasa seperti di khianati.Keputusan yang dibuat tanpa persetujuan aku.Kau tahu macamana sakitnya bila ahli keluarga sendiri khianati kita,rasa macam kena tikam dari arah depan secara terang-terangan”.Menitis-nitis air mata Auni.

“Mungkin dia orang yang baik,cuma kita tak nampak.Mungkin masa kau nampak dia tak solat jumaat itu,dia ada hal kecemasan.Bersangka baik”.

“Aku susah nak terima dia bukan sebab itu.Aku tahu semua orang berhak diberikan peluang,sama seperti Allah beri aku peluang untuk kenal Dia.Tapi hati aku ni Sofea,hati ni belum bersedia.Hati ni saat ini sangat mendambakan cinta dari ALLAH,aku menolak perkahwinan itu bukan kerana latar belakang agamanya.Walaupun seorang ustaz yang masuk meminang tetap aku tolak saat ini,kerana hati aku masih belum mencapai nikmatnya cinta ALLAH.Aku merasa tak layak menggapai cinta insani sedangkan cinta Illahi pun aku masih tercari-cari.Dalam keadaan hati aku yang masih kucar-kacir ni,kalau aku tetap berkahwin,aku risau,perkahwinan ini akan membuatkan aku dan suami aku nanti merasa tidak bahagia”.
Sofea menarik nafas panjang mendengar luahan Auni.Di dalam hati dia berdoa semoga Allah memberi ketabahan kepada sahabatnya ini dan supaya Allah mempermudah jalan sahabatnya ini meraih cintaNya.

“Sabar ye,ini ujian Allah.Kau nak buat apa sekarang?”.

“Tak tahu,aku cuma berharap lepas aku balik dari seminar solat tu esok,hati aku ni lebih tenang.Mungkin aku mampu menerima ini takdir Allah untuk aku.Esok aku datang rumah kau lepas Subuh kita gerak ya”.Auni bangun dari tempat duduknya.

“Nak kemana pula tu?Kita belum habis bercakap kan”.

“Nak cakap apa lagi,cakap esok je la”.

“Isyh budak ni,air mata kat pipi tu tak kering lagi,dah sibuk nak balik.Duduk sini dulu dengan aku,teman aku makan”.


“Kau perasan tak ,setiap kali kita berjumpa.Perkara terakhir yang selalu kita buat adalah makan,tempat kita selalu jumpa pun mesti selalu ada jual makannan yang sedap-sedap.Habislah diet kau Sofea”.

“Tengah sedih ada hati nak mengusik orang.Sinilah,tadi kat mesej cakap nak terapi peluk,aku tengah berbesar hati ni nak bagi terapi peluk kat orang”.
Auni tersenyum akhirnya.Dia mengeluarkan keluhan berat.

“Tak baik mengeluh,anggap je ni semua ujian dari Allah agar kau semakin dekat dengannya.Orang mukmin tak anggap masalah itu sebagai masalah tapi anggap masalah itu sebagai ujian”.




“Farah,gambar kita masa dekat majlis kahwin kawan sekolah kita dulu tu kau masih simpan tak?Kalau ada nanti tolong inbox dekat Fb aku”.

“InsyaAllah,kenapa tiba-tiba nak gambar tu,kau rindu kat akulah tu”.

“Rindu yang terpendam..hahaha”.

“Esok jadi pergi seminar tu dengan Sofea?Sorry aku tak dapat ikut,kalau kenduri biasa aku boleh je bagi alasan,tapi kenduri arwah atuk”.

“Takpe,kami berdua faham.Nanti kami kongsi ilmu yang kami dapat kat sana dengan kau”

“Thanks”.

“Thanks juga sebab sudi jadi kawan terbaik aku pernah ada”

“Kau pun sama”.

“Kau jaga diri kau baik-baik.Aku sayang kau”.

“Aku bukan budak kecil lagi.Kau nak pergi seminar kat Johor je kan,ayat kau tu macam nak pergi jauh sangat”.

“Hahahaha…aku kan poyo.Aku nak tidur,esok nak bangun pagi.Bye-bye”.


Auni menutup komputer riba miliknya.Sempat lagi dia melayari Facebook sebelum tidur,melihat Farah yang sedang online sengaja dia mengacau sahabatnya itu.Jam sudah menunjukkan pukul 1.20 pagi,dia perlu tidur kerana esok pagi dia harus bangun awal.Setelah membaca ayat kursi dan surah 3 Qul, dan doa tidur,Auni membaringkan badannya.Perlahan-lahan matanya terlelap.




SALAHKAH AKU UNTUK MEMILIH SYURGA (II)




“Sofea,kau tahu tak?Kadang-kadang dunia ni suatu tempat yang sangat menakutkan”.

“Kenapa kau cakap macam tu?”.

“Buat dosa secara terang-terangan tanpa rasa bersalah,nak buat baik pula sembunyi-sembunyi.Takut orang tahu”.

“Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali juga dalam keadaan asing,beruntunglah orang-orang yang berada dalam keadaan asing itu.Mungkin kau masih ingat kata-kata ni”.
Auni tersenyum.

“Kalau suatu hari nanti ditakdirkan aku pergi dulu sebelum kau,kau selalu doakan aku tau.Aku takut tak cukup apa yang aku bawa nanti untuk bertemu dengan Allah”.

“Janganlah cakap macam tu.Ins Shaa Allah aku akan selalu doakan kau,tapi  kalau Allah takdirkan aku yang pergi dulu,kau pun tolong doakan aku selalu”.

“Ins Shaa Allah ,aku selalu doakan kawan-kawan aku.Kau orang baik Sofea,kalau bukan sebab aku doakan pun,kau akan ditempatkan ke dalam golongan yang terpilih kelak”.

“Siapa kita untuk menilai samada aku ni baik atau jahat.Mungkin pada pandangan kau aku nampak baik,tapi hakikatnya Allah sahaja yang tahu”.

“Kau yang  berubah dahulu  ke arah kebaikan sebelum aku.Aku dah agak terlambat berubah,nasib baik Allah sempat beri Hidayah sebelum aku tutup mata”.

“Memang aku yang berubah dahulu tapi manusia ni Auni,iman mudah naik dan mudah turun.Aku memang dah berubah awal daripada kau,tapi untuk aku istiqamah dalam perubahan aku tu kadang-kadang  aku pun pernah terjatuh,namun aku kuatkan hati dan iman untuk bangkit semula.Sebab aku sedar,jalan untuk mendapatkan ketenangan hanyalah kembali pada Allah s.w.t.”.

“Siapa kita untuk menilai iman seseorang kan?Allah sahaja yang layak menilainya”.

“Betul,siapa pun kita sebelum ni,hanya Allah yang layak menilai kita”.

“Kadang-kadang aku malu dengan kau Sofea,ada masalah je aku cari kau.Rasa macam selalu sangat aku menyusahkan kau untuk dengar luahan perasaan aku”.

“Kau kawan aku,aku tak kisah.Lagipun cuba dengar kau bercakap je kan,bukan kena bayar pun”.

“Kadang-kadang aku rasa biar aku pendam je  masalah aku ni sendiri,tapi bila jumpa kau,automatik terus  aku nak bercerita dengan kau”.

“Tak elok kau pendam perasaan sendiri.Allah kan selalu ada,luah pada Allah.Kau kan tahu ,aku kadang-kadang ada waktu untuk kau,tapi kadang-kadang aku pun sibuk dengan kerja aku sendiri.Kau luahkan pada Allah,Dia selalu mendengarkan rintihan hamba-hambaNya.Aku  mungkin hanya perantaraan yang Allah hantar untuk bantu kau apa yang aku termampu.Allah tak pernah tinggalkan kita,kita je yang selalu tinggalkan dia”.





“Boleh jadi Allah membuka pintu-pintu amalan untuk kau,tapi mungkin Allah tidak membuka pintu penerimaan amalan yang kau buat tu,tapi Allah buka pintu maksiat untuk kau agar itu jalan yang kau harus tempuh untuk sampai kepada Allah.Sebab bila kau rasa berdosa dengan maksiat yang kau buat tu,kau akan rasa lebih merendah diri pada Allah,berbanding apabila kau berbuat amalan yang banyak namun disinggahi sikap riak dan ujub dalam hati.Aku cakap ni bukan untuk kau je,untuk aku sekali.Kadang-kadang bila aku bercakap dengan kau,aku rasa aku seperti sedang menasihati diri aku sendiri”.

“Aku pun baru perasan Auni,selama ni kata-kata yang aku selalu cakap kat kau tu  adalah salah satu punca aku bersemangat semula nak menghadapi kehidupan ni.Hati kita ni ada masalah kan,sebab tu kita susah sangat nak tengok masalah sebagai ujian”.

“Kalaulah aku boleh basuh hati aku ni semudah aku mencuci muka.Aku pernah terbaca  satu ulama pernah berkata ‘aku hairan bagaimana manusia boleh membasuh mukanya setiap hari tanpa membasuh hatinya’.Hati kita ni memang setiap masa perlu dibasuh kan”.

“Balik nanti kita singgah masjid dekat Kampung Melayu.Kita solat asar dulu sebelum balik.Rindu pula aku dekat masjid tu”.Sofea hanya mengangguk,Masjid di Kampung Melayu banyak kali juga menyaksikan mereka berdua merintih kepada Yang Maha Esa.Betullah kata orang,salah satu cara nak tenangkan hati,datanglah rumah Allah,Sofea berharap hatinya yang sedang kacau saat ini,akan menjadi tenang nanti di sana.




“Bila agaknya kita ni nak rehatkan?Kadang-kadang aku macam nak give up je,tapi bila aku ingat kerja ni amanah Allah untuk aku.Rasa berdosa pula nanti kalau aku abaikan anak-anak murid aku”.Sofea mengeluh kecil.

“Semua kerja penat,nama pun kerja.Betul ke kau tak tahu kita ni bila nak rehat?”.Soalan Auni.

“Masa kita dah tua nanti,masa tu anak-anak kita yang ambil tanggungjawab kita sekarang”.

“Betul,tapi jawapan yang lebih tepat.Kita akan betul-betul rehat bila roh dan jasad dah berpisah dan kita melangkah ke alam barzakh”.

“Jawapan kau.Kau fikir terlalu jauh”.

“Kena fikir jauh sekarang ni Sofea,sebab kita sendiri tak tahu bila malaikat maut akan mencabut nyawa kita,mungkin sekarang daun yang ada nama salah seorang dari kita gugur dari arasy Allah.Kita takkan pernah tahu”.
Sofea termenung jauh,tersentap dengan kata-kata Auni.

“Dah sedia nak cerita?”.Auni memandang wajah Sofea,ditenung wajah sahabatnya itu dalam-dalam.

“Tak payahlah”.Sofea mengelak.

“Baik kau cerita,kalau tak nanti tiap-tiap hari aku hantar mesej pada kau ,tanya apa ujian yang kau sedang hadapi sekarang ni”.Auni separuh mengugut,sengaja dia melakukan begitu.Sebab dia tahu,Sofea jarang berkelakuan sebegitu jika dia tidak betul-betul terganggu dengan sesuatu.

“Aku kena fitnah,ada orang fitnah aku bercinta dengan cikgu ganti kat sekolah aku”.
Auni terdiam,dia tergelak kecil.

“Siapa yang fitnah kau?”.

“Makcik cleaner dengan pak cik jaga yang psiko kat sekolah tu”.Makin galak Auni tergelak.

“Sorry,bukan apa,macam kelakar je kau kena tuduh macam tu.Zahid tu kan bawah kita,dan aku tengok kau dengan dia kalau berborak tak sweet langsung,macam nak bergaduh ada lah.Itu pun kena gossip bercinta”.

“Kelakar kan.Tapi itu yang terjadi,aku stress sekarang ni”.

“Kahwin jelah dengan Adham,lagipun aku tengok dia tu dah tergila-gila sangat pada kau,kau je yang buat-buat tak faham”.
Sofea terdiam.

“Perkahwinan bukan jalan penyelesaian Auni.Melarikan diri daripada masalah takkan menyelesaikan masalah”.

“So apa yang kau nak buat sekarang ni untuk betulkan keadaan,sebab kau cakap tadi orang atasan siap hantar mesej suruh korang berdua ni jangan bertemu,tapi orang atasan kau pun satu.Sekolah tu bukan besar mana pun,sampai bila kau dengan Zahid tu boleh mengelak dari bertemu”.

“Zahid kata dia nak berterus-terang dengan orang atasan,lagipun dia perlu bersihkan nama mak dia sebagai salah seorang orang kuat sekolah lain.Dan dia suruh aku dengan Adham kahwin cepat-cepat,sama macam kau”.

“Betullah tu kata Zahid,bak sini nombor Adham.Biar aku mesej budak tu,suruh je dia masuk meminang kau cepat-cepat”.

“Aku dengan dia hanya kawan.Kami tak pernah bersetuju apa-apa untuk mengklasifikasikan perhubungan kami”.

“Mengklasifikasikan,tinggi tu kata-kata kau.Adham tu dari dulu dah memang suka kat kau,tapi kau je yang sengaja buat-buat tak nampak”.


“Tentang orang yang fitnah kau ni,makcik cleaner yang suka bergosip,lepas tu pakcik jaga yang psiko tu,lebih baik kau buat tak dengar je.Selalunya orang yang suka fitnah orang lain ni,dia sebenarnya cemburu apa yang ada pada kita tapi dia takde.And aku pernah terbaca,daripada kita benci sangat dengan orang yang melakukan kesalahan pada kita,lebih baik kita kasihan,simpati pada orang tu.Kita kasihan kat dia,mungkin hati dia sedang dalam kesakitan,sebab tu macam-macam keluar dari mulut dia”.

“Nak menyayangi orang pun penat,apatah lagi nak membenci.Dari kau buang masa dan tenaga membenci orang macam tu,lebih baik kau tanam sifat simpati pada orang tu.Tak elok terlalu membenci,sebab tak baik untuk hati.Hati kita ni kan kecil je Sofea”.





“Kau tahu,bila setiap kali kau kenalkan aku dengan kawan-kawan baru.Aku rasa bersyukur,aku sedar dalam dunia ni aku tak hidup seorang diri.Tapi bila kau macam tolak aku untuk lebih rapat dengan orang lain sebagai kawan karib,aku terasa macam kau nak tinggalkan aku…”.

“Bukan macam tu,janganlah cakap macam tu.Kita hidup dalam dunia ni tak lama,aku tak nak nanti bila aku dah tiada nanti,kau dah tiada kawan”.

“Setiap manusia akan pergi menemui Allah suatu hari nanti,aku cuma berharap,yang akan pergi dulu aku,bukan kau”.

“Dahlah tak nak cakap hal-hal macam ni lagi.Jadi kan kita nak pergi seminar solat tu,bila nak daftar?”.

“Kena daftar online,aku minta tolong kakak ipar aku bayar guna Maybank 2U,nanti kau bayar dengan aku je”.

“Dalam beberapa hari ni aku selalu terfikir tentang Farah,kita berdua ni Alhamdulillah Allah dah beri kita peluang untuk lebih kenal Allah,rasa nikmat cinta padaNya,tapi aku kadang-kadang rasa berdosa sebab aku biarkan je Farah terus dengan kehidupan dia.Bukan aku nak cakap dia tak baik tapi,kau faham maksud aku kan.Aku nak sangat bila kita berbual-bual hal mengenai Allah,mengenai hidup dan mati,dia pun ada.Aku nak dia pun rasa apa yang Allah beri kita rasa”.

“Aku faham maksud kau.Aku tak tahu macamana nak tarik Farah,aku bimbang kalau kita terus terang dengan dia,minta dia berubah.Takut dia tak boleh terima kata-kata kita nanti”.

“Kau berdua ingat aku ni jahat sangat ke?Takkanlah orang ajak aku berubah ke arah yang lebih baik,aku tolak”.Satu suara menegur Auni dan Sofea dari belakang.
Farah sedang berdiri di belakang mereka.Entah mengapa hatinya tergerak untuk masuk ke lorong Pantai Bulan walaupun dia sebenarnya masih penat setelah balik dari tempat kerja.Di hujung pantai tempat dia dan kawan-kawannya selalu bertemu dia melihat kereta Sofea tersadai,dengan sengaja meletakkan keretanya jauh sedikit dan berjalan perlahan menuju ke tempat Sofea dan Auni berbual.Hatinya tersentuh apabila mendengar perbualan dua sahabatnya itu,di dalam hati dia rasa bersyukur Allah telah mempertemukan dia dengan sahabat seperti mereka berdua.


“Kau marah ke Farah,kami tak ajak kau lepak sekali?”.Auni bertanya.Farah duduk di tengah-tengah antara mereka bertiga.

“Kau berdua memang kan.Suka menjauhkan diri dari aku”.

“Bukan menjauhkan diri,kami tahu kau penat,baru balik kerja.Kami taknak susahkan kau”.Sofea meletakkan kepalanya di bahu Farah.Auni yang berada di kiri Farah pun meletakkan kepalanya di bahu kanan Farah.

“Boleh tak aku nak berterus-terang dengan kau berdua?.Auni dan Sofea mengangguk.

“Sebenarnya aku cemburu,bila melihat kau berdua mampu berubah ke arah yang lebih baik.Aku kadang-kadang tertanya-tanya sampai bila aku nak teruskan hidup aku macam ni.Tapi kadang-kadang aku pun terfikir kenapa kau dengan Auni tak pernah cuba untuk ajak aku berubah seperti apa yang kau berdua lakukan sekarang.Rasa sedih bila aku fikir,kadang-kadang sampai aku berkata kawan-kawan aku ni,tak nak ajak aku masuk syurga sekali ke?”.

“Kami berdua minta maaf  Farah,kami tahu .Sepatutnya dari dulu aku dengan Auni cakap dengan kau tentang perkara ni,tapi kami takut.Kami takut kau terasa dengan kami nanti”.Sofea di kirinya sudah pun menitiskan air mata.Mendengar kata-kata yang lahir dari mulut Farah membuatkan dia merasa bersalah.Kawan yang baik sepatutnya mengajak kawan-kawannya ke arah kebaikan.

“Aku pun minta maaf Farah,sepatutnya dari dulu kami dah bercakap dengan aku.Kami sayang kau Farah,kau satu-satunya kawan kami yang selalu buat kami ketawa walaupun saat itu hati kami menangis.Maafkan kami Farah”.

“Kalau betul kau berdua sayang aku,jangan tinggalkan aku sendiri hadapi hidup ni,aku memang selalu ketawa bila jumpa kau berdua tapi Allah sahaja yang tahu apa yang harus aku hadapi dalam hidup ni.Bantu aku untuk kenal Allah,bantu aku untuk kenal apa erti aku ni sebagai hambaNya,bantu aku untuk bersama-sama kau berdua meraih syurga.Aku tak nak di akhirat nanti,destinasi aku dan kau berdua berbeza.Biarlah kita kawan di dunia,dan kawan di syurga.InsyaAllah”.

Auni dan Sofea sudah pun menitiskan air mata,mendengar pengakuan ikhlas dari Farah.Sucinya hati sahabatnya ini untuk berubah,mungkin salah mereka berdua yang terlalu bimbang mengguris perasaan Farah,tanpa sedar sebenarnya mereka lebih  membuatkan Farah kecewa dengan membiarkan Farah terus tersasar dari landasan yang sepatutnya.

“Aku dengan Auni berjanji Farah,selagi  mampu kami akan bantu kau,kami takkan tinggalkan kau hadapi hidup ni.Mungkin ni teguran dari Allah untuk kami,hidup ni bukan untuk kita sahaja tapi untuk membantu orang-orang di sekeliling kita.Dengan izin Allah,kami akan bantu kau Farah,betul tak Auni?”.

“Ya,betul.Kami akan selalu bantu kau untuk kenal Allah.Kita sama-sama kenal Allah ye sayang”.

SALAHKAH AKU UNTUK MEMILIH SYURGA (I)


‘Insan,kita sendiri tak tahu apa yang akan terjadi dalam hidup kita.Saat ini,detik ini mungkin setiap insan akan melalui satu proses perubahan.Mungkin dari seseorang yang kurang baik kepada yang lebih baik,ataupun mungkin sebaliknya.Itu semua telah tertulis,Allah telah menentukannnya.Dan Allah jualah yang akan menentukan bagaimana perjalanan hidup setiap HambaNya.Aku, mungkin dengan Allah menimpakan satu musibah yang hampir meragut nyawa pinjamannya ini,baru aku tersedar dari tidur yang lena.Saat aku merasakan mati hanya untuk sesaat,saat itu semua rasa sesalku menyesak di dalam dada,semua dosa-dosa laluku terhimpit di benak fikiran,dan segala apa yang sepatutnya aku lakukan dahulu mengejar aku seperti mimpi ngeri.Allah,saat ini hati seakan menangis setiap kali menyebut namaNya..

Alhamdulillah,Allah pertemukan aku dengan orang yang sepatutnya.Nur Sofea,kawan sekelas di sekolah menengah.Hampir tiga tahun kami tidak bertemu,namun Allah pertemukan kami.Aku kagum melihat perubahan dia,dia yang dahulunya sama sepertiku yang sekarang,namun sudah berubah ke arah yang lebih baik.Kami menjadi rapat kerana kami berkongsi cinta yang sama,CINTA YANG MAHA ESA.Hati ini dari dulu menjerit untuk menjadi orang yang lebih baik,namun hasrat asyik tertangguh kerana terleka dengan kenikmatan duniawi.Allah!!Hati ini menangis,di saat Kau bukakan pintu hati untuk selalu mendekatiMu,Kau hadirkan aku ujian dari insan-insan yang aku sayang.Benarlah kata orang,Allah akan uji kita dengan apa yang kita sayangi.
Aku tak nak masuk syurga sendiri,tanpa  membawa ahli kekeluargaku bersama-sama.Terutama ibu dan ayah,namun apabila melihat mereka masih asyik dengan dunia,aku menjadi lemah.Berat ujian Alllah ini,saat ini Allah menguji aku dengan apa yang aku sayangi di dunia ini.Ibu,ayah dan adik-beradikku…’


Auni menutup kembali dairi miliknya,dia melihat telefon yang berbunyi tadi.Sofea sudah membalas mesejnya,Sofea berjanji untuk bertemu dengannya di Pantai Bulan.Rasa rindu pada sahabatnya itu,hampir dua minggu juga mereka tidak bertemu muka,sekadar membalas komen di facebook ataupun mesej.


Nur Auni Husna melangkah kaki menuju ke kedai makan setelah dia membalas mesej dari Nur Sofea.Sahabatnya itu akan sampai lambat kerana  dia menghantar ayahnya yang bekerja sebagai pemandu lori ke pejabatnya.
Kruk..Krukk..krukk..Perut Auni sudah mula berbunyi,dari pagi tadi dia belum menjamah apa-apa makanan.Sementara menunggu Sofea,Auni memesan dulu makanan,tidak sanggup rasanya untuk terus menunggu.Sorry ye Sofea,aku dah lapar sangat ni!!

Mi bandung dan air limau panas gelas besar diorder untuk dirinya.Suasana pantai yang agak sejuk,membuatkan Auni memakai baju sweater yang memang dibawanya bersama tadi.Haruman mi bandung menusuk ke dalam rongga hidungnya.

Farah,kerja tak budak busuk tu?Auni mengambil telefonnya,mendail nombor Farah.Sambil menunggu panggilan berjawab Auni menyuap mi bandung yang masih panas itu perlahan-lahan ke mulutnya.

“Sayang,kau kat mana?Kerja tak hari ni?”.Auni memulakan bicara.

“Aku kerja,kenapa?”.

“Nak belanja makan,balik pukul berapa?Nanti balik singgah kedai makan yang kat Pantai Bulan,aku dengan Sofea tunggu”.

“Owh,nak makan besar tak ajak aku pun”.

“Dah telefon ni,mestilah nak ajak sekali.Datang tau,kami tunggu”.


Sementara menunggu kedua sahabatnya datang,Auni terus menyuap makanan ke mulutnya.Sejuk-sejuk macam ni memang sesuai sangat makan makanan yang berkuah macam ni.

“Assalamualaikum”.Satu suara memberi salam dari belakang.Sofea sedang berjalan menuju ke arahnya.
Sahabatnya itu tersenyum ,dia memeluk erat Auni dari belakang.

“Sorry ye aku lambat,kawan aku ni.Sorry ye ,aku abaikan kau beberapa hari ni,aku sibuk sangat,sekolah baru mula kan”.
Auni tergelak sendiri.

“Kau ni baru je sampai ,tapi dah dua kali minta maaf kat aku.Aku tak kisahlah,lagipun aku telefon tiba-tiba je tadi kan,aku dah telefon Farah tadi,nanti lepas balik kerja dia singgah join kita kat sini”.

“Kau sihat?”.Satu soalan cepumas dari Sofea.

“Tak nampak ni pipi semakin tembam,confirmlah sihat.Sekolah macamana?Ramai anak murid baru kau?”.

“Alhamdulillah,adalah lima orang.Kau ni betul-betul sihat ke?”.

“Yelah,kalau tak sihat,mestilah aku dekat hospital sekarang ni kan”.

“Orang lain bolehlah kau tipu dengan senyuman palsu kau tu”.Sofea berkata,dia tersenyum penuh makna.

“Memang nampak sangat ke?”.Auni akhirnya mengalah,dia meletakkan sudu di pinggannya.

“Sangat.Hari ni aku tak bawa tisu tau nak lap air mata kau”.
Auni menjuihkan bibir,Sofea ni.Memang susah nak berahsia dengan budak ni,pandai je dia korek rahsia aku.

“Apa masalah kau kali ni?”.Perbualan mereka terhenti apabila kuew tiaw kerang pesanan Sofea sampai.

“Biasalah,tapi lately aku ni susah sangat nak menangis.Aku ada buat dosa yang aku sendiri tak pasti kenapa aku boleh terjerumus dalam dosa tu lagi.Aku takut hati aku dah keras”.
Sofea terdiam,dia memandang Auni yang sedang menguis-nguis mi di dalam pinggannya.

“Setiap manusia pernah dan akan selalu melakukan dosa.Baguslah bila kau ada rasa menyesal dengan dosa yang kau lakukan,itu tandanya hati kau masih lembut.Susah Auni bila hati dah tak rasa menyesal dengan dosa,aku nak tanya kau sesuatu boleh?”.
Auni mengangguk.

“Masalah kau ni melibatkan family ke?”.
Auni mengiyakan.

“Aku nak cakap sesuatu boleh,tapi kau jangan ambil hati dengan kata-kata aku ni”.
Auni terdiam.

“Taknaklah takut kau terasa pula nanti,tak pasal-pasal bergaduh pula kita”.Sofea membatalkan hasratnya untuk berkata-kata apabila melihat wajah Auni yang sudah mula berkerut tadi.

“Baik kau cakap,aku tak kisahlah.Kalau kau tak cakap hari ni,sampai bila-bila aku akan tuntut dengan kau nanti”.

“Aku tengok kau ni setiap kali ada masalah dengan family,terutama ayah dan ibu kau.Kau selalu membandingkan situasi kau dengan orang lain.Faham tak?Ok,lebih mudah macam ni,setiap kali kau ada masalah dengan mak atau ayah kau mesti kau bandingkan situasi kau dengan abang kau.Kau cakap sebagai anak sulung,abang kau perlu ada lebih tanggungjawab,tapi kau selalu cerita kat aku tanggungjawab anak sulung tu macam dah terletak atas bahu kau.Kau mungin belum mendapatkan keikhlasan untuk berbakti pada kedua ibu bapa kau.Cuba setiap kali kau ada masalah dengan mereka,kau terasa hati,kena marah atau apa pun situasinya,cuba kau fikirkan masa-masa yang indah dengan mereka sebelum ni.Mustahil kau tak pernah rasa bahagia,rasa gembira dengan mereka kan”.


Auni terdiam.Terasa bagaikan ditampar-tampar dengan kata-kata Sofea itu.

“Kau nak rendam aku kat dalam laut tu ke?”.Sofea tiba-tiba bertanya.

“Kenapa pula?Aku ok lah,selama ni kau tak pernah berterus-terang dengan aku.Baguslah kau beritahu ni,sekurang-kurangnya aku tahu apa masalah aku sebenarnya”.
Sofea tersengih.

“So jangan sedih-sedih.Tentang kau susah menangis tu,mungkin ambil masa sikit,tapi yakinlah Hidayah Allah untuk hamba-hambaNya tak pernah berhenti,berdoa kepada Dia.Supaya Allah  beri Hidayah dan lembutkan hati kau untuk menangis.Kau sendiri pernah cakap dengan aku,jangan anggap masalah itu sebagai masalah,anggaplah masalah itu sebagai ujian”.

Auni tersengih sendiri,tanpa disedari air matanya perlahan menitis.

“Dah menangis pun.Kalau ada apa-apa jangan terlalu pendam dalam hati.Hati kita ni tak besar mana,kalau semua perasaan nak simpan dalam tu,itu yang dia jadi keras nanti.Dahlah,lap air mata tu,nanti Farah nampak,pelik pula nanti dia”.
Auni tersenyum sendiri,dia dengan Sofea kalau di depan Farah,mereka jarang berbincang perkara-perkara yang melibatkan tentang hati.Bagi Auni,kalau nak menangis cari Sofea,tapi kalau nak  tergelak pergi jumpa Farah.Celoteh dan kata-kata Farah mampu membuatkan dia tersenyum,walaupun sedang bersedih,Sofea pula kata-kata semangat dan pelukkan dia sentiasa membuatkan Auni kembali bersemangat menghadapi hidup.



“Apa isu yang tengah hot sekarang ni ye?”.Farah bertanya ketika mereka bertiga berjalan mengambil angin di Pantai Bulan.

“Kena tanya pak cik Google lah?”.Selamba Auni menjawab.

“Bila nak kahwin?Umur dah 25”.Sofea pula menjawab.Farah dan Auni sama-sama tersenyum.

“Aku tergelak baca status kau pasal kahwin semalam.Nak tidur bila mak tanya pasal kahwin”.
Sofea tersengih.

“Risau betul orang-orang keliling kita ni kan,bila kita tak kahwin-kahwin,ingat kahwin tu macam main masak-masak ke?”.Auni bersuara.Maknanya bukan dia seorang sahaja yang selalu ditanyakan bila nak kahwin?Mungkin untuk 2014 itu adalah soalan wajib jika bertemu dengan saudara-mara atau sahabat handai.

“Bosan kan,dia ingat kita ni tak terfikir ke nak kahwin,mestilah ada.Tapi jodoh belum sampai,bukannya memilih,tapi kalau main tangkap muat je,nanti lepas kahwin baru nak menyesal,dah tak boleh nak buat apa nanti”.Sofea berkata.Kadang-kadang sakit juga kepalanya untuk memikirkan persoalan kahwin ni.

“Aku kalau nak kahwin pihak lelaki kena bagi aku 24000 ,sekarang nak kahwin belanja mahal,takde duit kahwin lambat sikit la”.Farah yang lagi tadi terdiam bersuara.

“Kuruslah wawan cari duit kahwin kau dengan dia”.Auni mengusik Farah.Sofea tergelak mendengar usikan Auni.

“Untunglah dah ada orang nak,aku ni.Takde yang suka pun kat aku ni”.

“Aku pun sama”.Sofea yang berada di sebelah Auni juga berkata.

“Kau ada orang nak tapi kau tu jual mahal sangat,nanti cikgu tu lari cari orang lain,masa tu jangan menyesal
pula”.

“Kawan je lah,dia pun tak pernah bagi apa-apa harapan pada aku”.

“Orang memang ada tapi duit takde,tak kahwin juga aku kan.Kau orang berdua ni selalu sangat jual mahal,sebab tu lelaki takut nak dekat”.Farah tahu ada sahaja lelaki yang berminat untuk berkenalan dengan dua orang sahabatnya ini ,namun sikap mereka yang agak dingin terhadap lelaki mebuatkan kebanyakkan lelaki takut untuk mendekati mereka berdua.

“Bukan jual mahal,tapi aku takut sebenarnya”.Auni memperbetulkan tanggapan Farah.Jujur bukannya dia seorang yang jual mahal atau sombong,namun takkanlah dia nak beramah mesra dengan orang yang baru dikenalinya,apatah lagi orang itu lelaki.Baginya jika lelaki itu benar-benar jujur untuk berkenalan dengannya,dia akan terus mendapatkan keluarganya,bukannya terus mendekatinya.

“Aku pun sama,lelaki zaman sekarang ni menakutkan”.Sofea mengiyakan kata-kata Auni.

“Kalau kau fikir macam tu,sampai bila-bila korang berdua tak kahwin.Tak semua lelaki macam tu,cubalah buka sikit pintu hati korang tu,kita ni dah 25 tahun,kawan-kawan kita yang lain semua dah beranak-pinak”.

“Ins Syaa Allah ,ada jodoh kami datang nanti,aku yakin.Kalau bukan di dunia mungkin di syurga kelak”.Auni tersenyum mendengar kata-kata Sofea.